Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Dengan adanya sebuah kerajaan yang berwibawa sebagai pentadbir, Malaysia berjaya memanfaatkan kedudukan dan daya saingnya dalam rantaian bekalan global untuk menjadi sebuah lokasi tempat perlindungan yang terkemuka di rantau ini.

Malaysia sedang menerima manfaat besar daripada pemindahan perniagaan, serta lencongan perdagangan dan pelaburan, yang timbul daripada perang dagang antara AS dan China.

Ini dapat dilihat apabila pelaburan langsung asing atau foreign direct investment (FDI) yang diluluskan telah naik dengan mendadak dalam suku pertama tahun 2019.

Tambahan lagi, pertumbuhan pengeluaran perindustrian bagi bulan April 2019 telah meningkat ke kadar yang tertinggi dalam tempoh 6 bulan semasa kadar inflasi kekal rendah dan stabil.

Perkembangan positif ini memberikan petunjuk bahawa keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi suku kedua tahun 2019 akan tumbuh dengan sihat.

Peningkatan FDI secara berterusan Dalam suku pertama tahun 2019, FDI yang diluluskan untuk semua sektor telah melonjak 73.4% kepada RM29.3 bilion berbanding RM16.9 bilion setahun lepas.

Peningkatan ini antara lain menunjukkan bahawa Malaysia sedang menikmati manfaat yang berterusan daripada lencongan perdagangan dan pelaburan, terutama sekali apabila FDI yang diluluskan untuk seluruh tahun 2018 telah meningkat 48% kepada RM80.5 bilion daripada RM54.5 bilion pada tahun 2017.

Kenaikan 73.4% bagi suku pertama tahun 2019 ini disumbangkan oleh peningkatan pelaburan yang ketara sebanyak 127% ke dalam sektor pembuatan kepada RM20.2 bilion daripada RM8.9 bilion pada tahun lepas.

Daripada RM20.2 bilion FDI yang diluluskan tersebut, RM11.5 bilion adalah berasal dari Amerika Syarikat, RM4.4 bilion dari China dan RM2.2 bilion dari Singapura (Jadual 1).

Antara contoh FDI berkualiti tinggi adalah pelaburan dalam sektor elektrikal dan elektronik (E&E) yang akan dibuat oleh Micron Technology dan Jabil Circuit untuk memperkembangkan operasi masing-masing di Pulau Pinang

FDI yang diluluskan untuk semua sektor bernilai RM29.3 bilion bagi suku pertama 2019 ini dijangka akan mewujudkan lebih daripada 41,200 peluang pekerjaan baharu, di mana 22,970 pekerjaan tergolong dalam sektor pembuatan dan 18,000 dalam sektor perkhidmatan.

Kadar pertumbuhan pengeluaran perindustrian bagi bulan April 2019 adalah yang tertinggi dalam tempoh 6 bulan, mengatasi unjuran pasaran Bagi pengeluaran perindustrian untuk bulan April 2019 pula, indeks pengeluaran perindustrian telah tumbuh dengan lebih pantas kepada 4.0% tahun-ke-tahun (y-o-y) berbanding 3.1% dalam bulan Mac.

Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan sektor pembuatan dan juga pemulihan output dalam sektor perlombongan.

Kadar pertumbuhan pengeluaran perindustrian 4.0% dalam bulan April 2019 tersebut adalah yang tertinggi dalam tempoh 6 bulan, dan ia sekali lagi mengatasi konsensus pasaran pada 2.5% seperti yang dikumpul oleh Bloomberg.

Untuk pengetahuan umum, pengeluaran perindustrian bagi bulan Mac telah tumbuh 3.1%, iaitu lebih tinggi daripada kadar 2.3% yang dijangka oleh pasaran berdasarkan kepada survei yang dijalankan oleh Bloomberg (Jadual 2).

Kadar inflasi kekal rendah

Perkembangan pengeluaran perindustrian bagi bulan April 2019 ini berlaku semasa kadar inflasi kekal rendah dan stabil pada 0.2%. Harga barangan asas pengguna telah berjaya direndahkan dan ini disebabkan oleh beberapa faktor.

Antara faktor-faktor tersebut adalah perubahan sistem cukai daripada cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST), serta pengenaan harga siling ke atas harga runcit RON95 dan diesel.

Dalam Februari 2019, harga siling bagi RON95 telah diturunkan daripada RM2.20/liter kepada RM2.08/liter.

Senarai yang lebih menyeluruh boleh didapati secara percuma di laman sesawang Jabatan Perangkaan Malaysia (https://www.dosm.gov.my).

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di bawah pimpinan Saifuddin Nasution Ismail telah menjalankan tugasnya mengawal kenaikan harga barangan dengan baik sepanjang tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Kementerian tersebut akan terus berusaha dengan lebih keras bagi memastikan harga barangan sentiasa berada pada paras yang berpatutan.


LIM GUAN ENG merupakan menteri kewangan.

Lihat Komen
ADS