Paling Popular
Terkini

Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Md Akin berkata dia 'bingung' apabila mendapat tahu bekas setiausaha sulit kanannya Haziq Abdullah Abdul Aziz boleh terlibat dalam skandal klip video seks.

Shamsul, yang juga merupakan ketua penerangan PKR, menyifatkan Haziq sebagai "seorang yang profesional" dalam menjalankan tugas.

"Saya 'blur'.... Maksud saya, wacana media sosial macam-macam. Tapi sebagai orang yang melantik dia memanglah saya bingung kerana dia tidak ada perwatakan sebegitu selama enam bulan dia bertugas," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Shamsul berkata demikian sebagai mengulas skandal klip video seks yang dikaitkan dengan Haziq dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Tambah Shamsul, selama berkhidmat di bawahnya, tiada aduan terhadap Haziq.

"(Dalam menjalankan) tugas dia profesional, semalam ada pertemuan dengan ketua setiausaha negara, tidak ada rungutan (terhadap Haziq), jadi pada hemat saya dia jalankan tugas dengan baik.

"(Tapi) tentulah saya tidak tahu niat dia apa," katanya.

Shamsul juga berkata dia mengenali Haziq sejak 2011 ketika bekas setiausahanya itu terlibat dalam gerakan aktivis pelajar.

Jelas Shamsul, kali terakhir dia menghubungi Haziq adalah sebelum pulang ke Kuala Lumpur selepas lawatan kerja di Myanmar pada Selasa lalu.

"Sebelum saya berangkat berlepas (pulang) ke Kuala Lumpur, saya kirim pesanan melalui WhatsApp untuk minta dia datang ke pejabat agar kita ada pucuk perbincangan.

"Tapi malangnya, tiada balasan," katanya.

Dalam perkembangan terbaru hari ini, Shamsul memaklumkan bahawa Haziq digantung tugas serta-merta dan perlu menjawab surat tunjuk sebab dalam tempoh tiga hari bermula 12 Jun lalu.

Pada 12 Jun lalu, Haziq mendakwa dia adalah individu dalam klip video lucah berkenaan.

Sementara Azmin menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia sebagai cubaan membunuh kerjaya politiknya.

Lihat Komen
ADS