PSC panggil Latheefa minggu depan
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) akan memanggil pemimpin tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru Latheefa Koya minggu depan bagi mempersoalkan mengenai tiga perkara.
Pengerusinya William Leong berkata, Latheefa akan disoal berhubung tanggungjawabnya dalam menjalankan tugas baru itu tanpa pengaruh politik.
"Dia (juga) tidak mempunyai pengalaman dalam menyiasat kes-kes rasuah, dan kami ingin tahu bagaimana dia akan menangani perkara ini," katanya sepertu dilaporkan The Star.
Menurut Leong perkara ketiga yang akan ditanya ialah mengenai visi dan misi Latheefa untuk memerangi rasuah.
PSC telah menetapkan pertemuan itu dengan Latheefa pada 20 Jun.
Latheefa dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM bagi menggantikan Shukri Abdull yang memohon kepada kerajaan untuk memendekkan tempoh perkhidmatannya.
Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, berkata beliau memilih Latheefa untuk mengisi jawatan tersebut tanpa berbincang dengan kabinet.
Pelantikannya itu dihujani dengan kritikan memandangkan Latheefa merupakan ahli kanan PKR, dan juga kerana ia dibuat tanpa merujuk kepada parlimen seperti yang dijanjikan PH sebelum ini.
Leong berkata bahawa PSC tidak akan mempersoalkan kesahihan pelantikannya itu, tetapi hanya mahu bertanya bagaimana Latheefa akan melakukan tugasnya.
Sebelum ini, Latheefa telah menolak untuk dikaitkan dalam sebarang penglibatan dari siasatan SPRM ke Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, dan menyerahkan siasatan itu sepenuhnya kepada timbalannya.
Beliau mempunyai tiga timbalan dalam agensi tersebut, tetapi Timbalan Pesuruhjaya SPRM (operasi) Azam Baki akan bertanggungjawab dalam siasatan itu.

