Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mufti WP beri 4 panduan hadapi isu video seks
Diterbitkan:  Jun 14, 2019 11:18 AM
Dikemaskini: 3:19 AM

Susulan daripada kekecohan penyebaran video klip lucah melibatkan seorang anggota PKR dan lelaki didakwa menteri kanan, Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad tampil memberikan empat panduan untuk umat Islam menghadapi isu tersebut.

Menurut Zulkifli, beliau sangat bimbangnya terhadap kesan daripada penyebaran video yang belum dapat dibuktikan kesahihannya itu.

“Angin politik Malaysia kembali bertiup kencang dengan timbulnya isu video yang mengaitkan seorang lelaki dengan seseorang yang didakwa sebagai menteri kabinet.

“Seawal tersebarnya video tersebut, hati ini amat gusar kerana terfikirkan 1,001 masalah yang bakal mendatang kepada umat ini dek sebaran video berkenaan.

“Oleh kerana merasakan perlunya satu panduan yang tuntas kepada umat Islam di Malaysia, saya meluangkan sedikit masa untuk membuat kajian dan menyiapkan empat buah artikel Bayan Linnas berhubung isu ini petang tadi,” tulisnya di media sosial semalam.

Berasakan ia adalah tanggungjawabnya sebagai seorang mufti, Zulkifli melampirkan empat tulisannya tersebut melalui pautan yang setiapnya bertajuk Peristiwa al-Ifki (Fitnah Terhadap Aisyah RA): Pengajaran Menghadapi Fitnah Semasa, Bahaya Fitnah, Isu Qazaf: Adakah Termasuk Tuduhan Liwat? dan Tabayyun Dalam Penerimaan dan Penyampaian Berita.

Antara nasihat daripada empat panduan itu ialah, Zulkifli menjelaskan bahawa umat Islam perlu berhati-hati dengan sesuatu tuduhan berkaitan dengan identiti seseorang dan mencari bukti sahih sebelum menentukan sikap.

Jelasnya, langkah tersebut perlu diambil supaya tiada mana-mana pihak terjerumus dengan kancah fitnah.

Beliau juga menasihati orang ramai sentiasa bersangka baik dan tidak percaya sepenuhnya dengan pembohongan secara terang-terangan. 


Baca Haziq diperalatkan dalam fitnah ini - Azmin


Kata Zulkifli, Azmin Ali - yang dituduh Haziq Abdullah Abdul Aziz berasmara dengannya dalam sebuah bilik hotel - serta seluruh umat Islam diminta merujuk kepada pandangan yang pernah dinukilkannya sebelum ini.

"Inilah tanggungjawab yang telah saya lunaskan selaku Mufti Wilayah Persekutuan bagi menyampaikan apa yang termaktub dalam al-Qur'an dan al-Sunnah berhubung isu ini,” katanya.

Dua hari lalu, Haziq yang juga merupakan ketua Pemuda PKR Santubong mengaku bahawa dia merupakan individu yang terlibat dengan video seks bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkenaan.

Bagaimanapun, Azmin menafikan dakwaan tersebut dengan menyifatkan bahawa ia merupakan taktik jahat untuk menamatkan kerjaya politiknya. 

Lihat Komen
ADS