Paling Popular
Terkini

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) memohon perkenan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Timbalan Pengerusi Ummah Kamaruzaman Mohamad memaklumkan pihaknya sudah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan untuk mengadap.

"Kita minta untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi membincangkan isu inkues Muhammad Adib. Surat sudah dihantar dan kita sedang menunggu jawapan.

"Jika tidak dapat mengadap, kita akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Memorandum kepada Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad) juga sedang disiapkan," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Pada 31 Mei lalu, Ummah menyerahkan memorandum ke pejabat peguam negara untuk mendesak Peguam Negara Tommy Thomas meletak jawatan.

Selain turut membuat laporan polis, Ummah juga merancang untuk menganjurkan sembahyang hajat seluruh negara bagi menuntut keadilan terhadap kematian anggota bomba itu.

Ummah mendakwa peguam negara cuba campur tangan dalam inkues kematian Muhammad Adib.

Sementara itu, Kamaruzaman berkata, pendedahan terbaru peguam Syazlin Mansor yang diarahkan supaya menarik diri daripada mewakili daripada mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menunjukkan Thomas tidak layak memegang jawatannya.

"Pendedahan itu memberi gambaran dengan lebih jelas apa yang berlaku dan semakin jelas Thomas telah hilang keyakinan dan beliau tidak lagi wibawa untuk memegang jawatan itu," katanya,

Syazlin pada 12 Jun lalu dalam satu sidang media melahirkan rasa hairan mengapa Peguam Negara mempersoalkan ‘tugasnya’ dalam inkues siasatan punca kematian Muhammad Adib.

Beliau berkata alasan yang dikemukakan Thomas bahawa beliau tidak membantu siasatan inkues apabila sering bercanggah dengan pendakwa (pegawai pengendali inkues) juga tidak boleh diterima.

Sebelum ini, Thomas dalam satu kenyataan menjelaskan, Syazlin diarah menarik diri sebagai peguam mewakili KPKT dan JBPM kerana wujud konflik kepentingan apabila beliau turut bersetuju untuk mewakili keluarga Allahyarham Adib yang mempunyai kepentingan langsung dalam inkues berkenaan.

Thomas juga menambah bahawa pejabat peguam negara tidak mempunyai halangan untuk Syazlin terus mewakili keluarga Adib.

Lihat Komen
ADS