Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR tak ada krisis dalaman isu klip video seks, kata Saifuddin

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail menafikan tanggapan bahawa wujud krisis dalaman susulan penyebaran klip video seks yang didakwa melibatkan timbalan presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali.

"Tak ada krisis dalam parti. Parti beroperasi seperti biasa," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa aktiviti PKR akan lumpuh sekiranya wujud krisis dalaman.

Saifuddin memaklumkan bahawa dia serta Presiden PKR Anwar Ibrahim, Naib Presiden Dr Xavier Jayakumar, dan Ketua Penerangan Shamsul Iskandar Md Akin menghadiri program PKR di Sabah sebelum berlepas ke Kuching, Sarawak untuk program lain.

"Kita beroperasi seperti biasa kerana kita putuskan untuk serahkan siasatan kepada pihak berkuasa," katanya.

Saifuddin juga menegaskan pendirian PKR menolak politik kotor.

Pada 12 Jun lalu, Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku dirinya merupakan salah seorang individu dalam klip video lucah yang tular.

Haziq turut mendakwa individu yang bersamanya dalam klip video itu adalah Azmin.

Azmin menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia cubaan memusnahkan kerjaya politiknya.

Sementara Anwar menafikan tanggapan yang melihat dia dan penyokongnya terlibat dalam menyebarkan klip video berkenaan.

Mengulas lanjut, Saifuddin menolak dakwaan yang mengatakan terdapat pemimpin dalam PH yang menggesa agar Anwar menyertai kabinet dalam masa terdekat dan dijadikan timbalan perdana menteri tahun depan.

Saifuddin berkata demikian sebagai mengulas laporan The Star.

Lihat Komen
ADS