Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hari ke-26: Dokumen dari bekas CEO SRC mungkin palsu - Saksi

LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Rizak berkenaan dakwaan penyelewengan dana SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur masuk hari ke-26 hari ini.

Malaysiakini membawa liputan secara langsung perbicaraan tersebut.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan

Terima kasih ikuti laporan langsung Malaysiakini

5pm - Terima kasih kerana mengikuti laporan perbicaraan pada hari ini.

Laporan oleh Hariz Mohd dan Hidir Reduan. Gambar oleh Azneal Ishak. Kemaskini media sosial oleh Ewe Ling Yenn.

Dokumen dari bekas CEO SRC mungkin palsu - Saksi

4.50pm - Peguambela Najib Razak dalam perbicaraan kes SRC International mendapat persetujuan saksi bahawa beberapa keterangan dokumen yang berasal daripada CEO syarikat itu yang gagal dikesan Nik Faisal Ariff Kamil boleh diragui ketulenannya.

Ismee Ismail, yang juga bekas pengerusi SRC International, bersetuju dengan cadangan yang diutarakan peguambela Najib, Harvinderjit pada penghujung pendengaran kes hari ini.

Ini selepas peguam berkenaan menyimpulkan pemeriksaan balasnya terhadap saksi pendakwaan ke-39 itu, selepas beberapa hari perbicaraan menyaksikan Harvinderjit menyoal balas Ismee mengenai dokumen minit mesyuarat lembaga pengarah SRC International dan resolusi daripada para pemegang saham syarikat.

Dalam melakukan ini, Harvinderjit menyoal saksi jika dia bersetuju bahawa semua minit mesyuarat - yang sepatutnya berasal daripada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) - yang dibawa ke lembaga pengarah SRC International oleh Nik Faisal adalah "sesuatu yang boleh diragui sekarang? "

Soalan peguam bela pada mulanya dibantah oleh pihak pendakwaan sebelum Harvinderjit memberitahu mahkamah bahawa dia ingin membuktikan bahawa apa-apa dokumen pun yang diwakili oleh Nik Faisal adalah tidak benar.

Dia kemudian dibenarkan untuk meneruskan bertanya soalannya, sebelum Ismee menjawab hal itu "mungkin".

"Sungguh menyedihkan," kata saksi itu lagi.

Harvinderjit kemudian membuat permohonan kepada Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali untuk menangguhkan pendengaran itu, dengan mengatakan bahawa dia hampir selesai dengan pemeriksaan balas terhadap saksi tetapi perlu melihat catatannya lagi untuk memastikan tidak ada yang terlepas, sementara peguam bela Muhammad Shafee Abdullah pula memerlukan masa kira-kira sejam untuk menyoal Ismee.

Mohd Nazlan kemudian menangguhkan pendengaran itu sehingga 9 pagi esok.

Harvinderjit: Semua ini palsu, perwakilan terhadap semua minit M&A yang dibawa untuk perhatian, bahawa ia menjadi sesuatu yang diragukan sekarang.

Ismee: Mungkin, sungguh menyedihkan.

Harvinderjit: Yang arif, saya hampir selesai. Saya perlu meneliti kembali nota saya. Peguam shafee Abdullah mungkin memerlukan satu jam lagi untuk menyoal saksi.

Peguam Najib, saksi bertelagah lagi

4.30pm - Bekas pengerusi SRC International Ismee Ismail dan peguam Harvinderjit Singh bertelagah lagi, kali ini mengenai jika bekas perdana menteri Najib Razak bersamaan dengan kerajaan atau cuma sebahagian sahaja daripada jentera kerajaan yang lebih besar lagi.

Pemeriksaan balas antara peguam dan saksi ke-39 berhubung Perenggan ke-22 dalam kenyataan saksi yang ditulis Ismee.

Perenggan itu menyatakan setiap kali Ismee menimbulkan isu tadbir urus dalam syarikat SRC International, CEO syarikat ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil terus berkata perkara tersebut telah dibincangkan dan dipersetujui oleh kerajaan.

Dalam perenggan itu, Ismee menyatakan dalam fikirannya, kerajaan itu bersamaan dengan Najib yang juga sama dengan menteri kewangan.

Harvinderjit: Jika dia (Nik Faisal) berkaitan dengan perdana menteri (Najib), kenapa kamu tidak menggunakan perkataan PM (perdana menteri) sahaja?

Ismee: Saya telah gunakan perkataan PM.

Harvinderjit: Kalau begitu kamu tidak boleh kata kerajaan. Apabila kamu menimbulkan isu urus tadbir, adakah kamu merujuk kepada minit (mesyuarat lembaga pengarah SRC International)?

Ismee: Ya.

Harvinderjit: Najib bukan kerajaan, dia cuma perdana menteri dan menteri kewangan.

Ismee: Beliau ialah perdana menteri.

Harvinderjit: Nik Faisal menggunakan perkataan 'kerajaan' dalam konteks kerajaan kepada kerajaan, bukan hanya seorang individu (Najib). Mesti Unit Perancang Ekonomi (EPU) mengendalikan hal ini, keseluruhan jentera (kerajaan).

Jaminan kerajaan tidak boleh dibuat sehinggalah kabinet meluluskannya terlebih dahulu dan terdapat ramai menteri di dalam kabinet.

Keputusan makro kerajaan yang diberikan kepada kamu tidak boleh dikaitkan hanya kepada perdana menteri (Najib).

Ismee: Ya.

Saksi setuju cadangan peguam: Resolusi pengarah bercanggah

4.00 pm - Bekas pengerusi SRC International Ismee Ismail bersetuju dengan pendapat peguambela bahawa terdapat percanggahan dalam resolusi pengarah syarikat bertarikh 17 Februari 2012 mengenai penempatan pinjaman bahagian kedua bernilai RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), dan ketika pinjaman itu diluluskan pada 23 Mac pada tahun yang sama.

Saksi ke-39 bersetuju dengan peguam Harvinderjit Singh semasa pemeriksaan balas pasukan pembelaan.

Harvinderjit: Terdapat surat tawaran (bahagian pinjaman kedua berjumlah RM2 bilion) daripada KWAP pada 23 Mac 2012. Sebelum itu, tiada kemudahan yang diluluskan oleh KWAP.

Bagaimana kemudahan (pinjaman) ini diluluskan, kamu tidak sedar sama ada ia penggunaan pinjaman secara berperingkat atau sekali gus.

Ismee: Ya.

Harvinderjit: Terdapat resolusi pengarah pada 17 Februari 2012, bercakap mengenai penempatan dana (bahagian kedua pinjaman sebanyak RM2 bilion), tetapi itu tidak betul, ia menganggap bahawa kemudahan itu telah diberikan (oleh KWAP).

Ismee: Pada ketika itu, ia diwakili oleh (ketua pegawai eksekutif SRC International ialah Nik Faisal Ariff Kamil) seperti itu (kepada lembaga pengarah syarikat).

Harvinderjit: Resolusi ini bertarikh selepas pengeluaran kemudahan (pinjaman) dan bertarikh 17 Feb 2012. Tidak kelihatan bahawa terdapat resolusi para pengarah untuk menggunakan dana tersebut (bahkan, sebelum permohonan pinjaman itu diluluskan)?

Ismee: Okay.

SRC International pertama kali diberi bahagian pertama pinjaman RM2 bilion oleh KWAP pada Ogos 2011, kemudian mendapat pinjaman kedua sebanyak RM2 bilion daripada kumpulan wang persaraan itu pada bulan Mac 2012.

Keputusan SRC perlu 'kelulusan' Najib: Peguambela, saksi 'bertelagah' 

3.30pm - Peguambela Harvinderjit Singh bertelagah dengan bekas pengerusi SRC International Ismee Ismail sekali lagi ketika perbicaraan SRC International petang ini.

Ini selepas saksi itu tidak bersetuju dengan cadangan peguam tersebut bahawa lembaga pengarah SRC International pada 2011 dan 2012 tidak memerlukan kelulusan daripada perdana menteri Najib Razak untuk membuat keputusan untuk syarikat itu.

Harvinderjit, dalam membuat cadangan memberitahu saksi itu bahawa tiada keperluan lembaga pengarah itu mendapatkan kelulusan Najib memandangkan (dokumen) Memorandum dan Atikel (M&A) syarikat itu cuma menetapkan untuk mendapatkan "nasihat" daripada perdana menteri dan perkataan yang digunakan bukan "kelulusan."

Menjawab soalan ini, Ismee memberitahu peguam itu terdapat hal 'tersirat' yang lebih daripada sekadar yang ditulis di atas kertas.

Harvinderjit: Tetapi ia tidak mengatakan kelulusan. Tidak perlu mendapat kelulusan oleh perdana menteri.

Ismee: Saya pasti artikel itu tidak boleh mengatakan demikian, bukankah begitu? Tindakan syarikat itu, suatu arahan atau kelulusan... Itulah sebabnya saya katakan hal ini merupakan salah satu perkara yang tersirat.

Jawapan Ismee kelihatan mengejutkan Harvinderjit yang selanjutnya mencabar saksi berkenaan untuk terus mengatakan mengenai 'tersurat' dan 'tersirat' dalam keterangannya itu.

Hal ini mendorong DPP V Sithambaram untuk mencelah, yang mana beliau membantah tindakan Harvidnerjit berhujah dengan saksi.

"Kamu tidak sepatutnya berhujah dengan beliau, kamu sepatutnya mendapatkan jawapan (daripadanya)," kata Sithambaram.

Seterusnya, Harvinderjit memohon maaf kepada mahkamah dan terus menyoal Ismee.

2.38 petang: Perbicaraan bersambung semula dengan pemeriksaan balas terhadap bekas pengerusi SRC International Ismee Ismail.


12.58 tengah hari: Perbicaraan dihentikan untuk rehat tengah hari dan dijadual bersambung semula pada pukul 2.30 petang.


‘Yang Arif, pukul berapa makan tengah hari?’

12.35 tengah hari: Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan peguam pasukan pembelaan Harvinderjit Singh supaya mahkamah berhenti lebih awal untuk makan tengah hari.

"Yang Arif, boleh kita berhenti makan tengah hari?” kata Harvinderjit. “Pukul berapa biasanya kita berhenti makan tengah hari?”

Nazlan berkata mahkamah biasanya berehat pada jam 1 tengah hari.

Sambil ketawa kecil, Harvinderjit kemudian berkata akan meneruskan sesi soal balas itu.

Harvinderjit membuat permohonan itu semasa soal balas bekas pengerusi SRC International Ismee Ismail berkaitan kesahan beberapa dokumen berkaitan syarikat itu - termasuk minit mesyuarat dan resolusi pemegang saham - yang diserahkan sebagai bukti.


Nama Jho Low muncul lagi

11.15 pagi: Perbicaraan diteruskan selepas berehat sekejap dan nama ahli perniagaan yang kini dalam buruan, Low Taek Jho disebut sekali lagi.

Ia ketika peguam Harvinderjit Singh bertanya Ismee Ismail berkenaan bekas pengarah kewangan 1MDB Terrence Geh yang mewakili setiausaha SRC International dalam mesyuarat lembaga pengarah.

Harvinderjit: Bagaimana dengan Geh? Adakah anda tahu kini dia sekutu rapat Low?

Ismee: Sekarang saya tahu.

Harvinderjit: Begitu juga dengan Nik Faisal. Sekarang anda tahu?

Ismee: Ya.

Harvinderjit: Jadi daripada apa yang anda tahu sekarang, orang seperti Nik Faisal, Jerome Lee, Terrence Geh, mereka sekutu rapat Jho Low?

Ismee: Ya


Ismee setuju bekas pengarah mungkin subahat dengan Nik Faisal

10.30 pagi: Ismee Ismail setuju dengan hujah pembelaan bahawa bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin mungkin bersubahat dengan bekas CEO Nik Faisal Ariff Kamil untuk menipu lembaga pengarah berkenaan urus niaga Gandingan Mentari Sdn Bhd dengan Putra Perdana Construction Sdn Bhd.

Ketika pemeriksaan balas, saksi ke-39 pendakwaan itu setuju dengan kenyataan Harvinderjit bahawa lembaga pengarah tidak diberitahu berkenaan urus niaga di mana Gandingan Mentari melabur sebanyak RM140 juta dengan Putra Perdana Construction, bagi pelaburan Putra Perdana di Afrika Selatan.

Urus niaga itu melibatkan pembahagian keutungan pada nisbah 70/30 antara Gandingan Mentari dengan Putra Perdana Construction.

Harvinderjit: Melihat kepada tandatangan (di dokumen), Suboh tak berlaku jujur dengan lembaga pengarah.

Ismee: Dia ingat itu ialah Gandingan Mentari.

Harvinderjit: Gandinan Mentari menyertai persetujuan dengan Putra Perdana Construction dengan berpura-pura menjadi pengurus pelaburan (pseudo investment manager) di Afrika Selatan, memberikan RM140 juta kepada Putra Perdana Construction, dan bahagi 70/30 dengan Gandingan Mentari. Ini tak diberitahu kepada lembaga pengarah?

Ismee: Ya (setuju).

Harvinderjit: Nampaknya Suboh bersubahat dengan Nik Faisal.

Ismee: Ya.


'Tanpa jejak aliran wang, saya tak boleh kata apa jadi dengan RM4b'

10.30 pagi: Ismee Ismail berkata dia tidak boleh memberitahu tentang apa yang berlaku kepada pinjaman RM4 bilion daripada KWAP kepada syarikat itu pada 2011 dan 2012.

Tanpa dokumen, katanya, dia tidak dapat berkata dengan pasti ke mana wang itu pergi.

Harvinderjit: Anda tak boleh kata apa jadi dengan wang daripada KWAP...Apa jadi kepada pinjaman KWAP kepada SRC?

Ismee: Tanpa apa-apa bukti dokumen atau jejak aliran wang (money trail), saya tak boleh kata dengan pasti.


Ismee: Lembaga tak setuju RM2b dikeluarkan dari akaun SRC

10.20 pagi: Ismee Ismail setuju bahawa pinjaman RM2 bilion kedua daripada KWAP - yang dimasukkan ke akaun syarikat pada 28 Mac 2012 - dikeluarkan pada bulan sama tanpa kelulusan lembaga pengarah.

Beliau berkata demikian ketika ditanya peguam belas Harvinderjit Singh.

Harvinderjit: Seluruh RM2 bilion daripada KWAP dikredit ke dalam akaun pada 28 Mac (2012) dan didebit keluar dari akaun pada Mac (tak jelas). Lembaga pengarah tidak meluluskan perkara ini.

Ismee: Ya.

Harvinderjit: Hakikat bahawa wang masuk dan keluar, tiada pematuhan terhadap mandat syarikat.

Ismee: Ya.

Harvinderjit: Ini satu penipuan (fraud) yang serius.

Ismee: Ya.


'Lembaga pengarah tak tahu peranan Nor Mohamed Yakcop dalam SRC'

9.50 pagi: Lembaga pengarah SRC International tidak tahu berkenaan peranaan sebenar Nor Mohamed Yakcop dalam syarikat itu walaupun bekas menteri tersebut terlibat dalam pinjaman RM2 bilion daripada KWAP.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Harvinderjit Singh, Ismee Ismail berkata Nor Mohamed - yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancang Ekonomi - terlibat dalam beberapa keputusan penting pada 2011 dan 2012.

Ia termasuklah penubuhan SRC International dan penukaran hak miliknya daripada 1MDB kepada MOF Inc.

Harvinderjit: Jadi, secara ringkasnya, keputusan kerajaan untuk (memberi) geran RM2 bilion (berdasarkan) memorandum daripada Perbendaharaan kepada menteri kewangan 2 (MOF2). Dan minit MOF2 menyatakan 'setelah berbincang dengan pegawai MOF, memorandum ini disokong'.

Jadi pada permukaannya, cadangan untuk geran kerajaan datang daripada Perbendaharaan. Dan kelulusan untuk sokongan ini daripada menteri EPU dan Kementerian Kewangan. Betul?

Ismee: Ya.

Harvinderjit: Dan lembaga pengarah tak tahu apakah sebenarnya peranan Nor Mohamed dalam SRC?

Ismee: Ya.


Ismee setuju pengarah SRC tak beri mandat untuk jaminan RM2 bilion

9.37 pagi: Bekas pengerusi SRC International setuju dengan hujah peguam bahawa lembaga pengarah syarikat itu tidak memberi mandat untuk bekas pengerusinya Nik Faisal Ariff Kamil mendapatkan jaminan bagi pinjaman RM2 bilon daripada kerajaan pada 31 Januari 2012.

Harvinderjit: Lembaga pengarah (SRC International) tidak beri mandat kepada Nik Faisal untuk keluarkan surat itu?

Ismee: Setakat yang saya ingat.

Harvinderjit: Jika penerima, iaitu Kementerian Kewangan, meneliti surat itu yang meminta jaminan kerajaan, penerima akan anggap ia sudah melalui sistem syarikat (sudah diperiksa dengan betul).

Ismee: Ia satu anggapan yang wajar.

KWAP menyalurkan pinjaman kedua berjumlah RM2 bilion kepada SRC International pada Mac 2012.


9.09 pagi: Perbicaraan bermula dan Najib masuk ke kandang tertuduh.

Ia dimulakan dengan sesi pemeriksaan balas peguam Harvinderjit Singh dengan Ismee Ismail yang merupakan saksi ke-39 pendakwaan.


9.07 pagi: Tertuduh, bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan duduk di barisan depan galeri awam.

Turut dilihat ialah Peguam Negara Tommy Thomas - ketua pasukan pendakwaan - dan Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pembelaan.


Pemeriksaan balas terhadap bekas pengerusi SRC International Ismee Ismail akan diteruskan pada hari ke-26 perbicaraan terhadap Najib Razak berkenaan dana RM42 juta syarikat itu.

Sejak Isnin lalu, Ismee disoal peguam Harvinderjit Singh berkenaan dakwaan pembohongan bekas pengarah SRC International Nik Faisal Ariff Kamil kepada lembaga pengarah berkenaan pinjaman RM2 bilion pertama yang diterima daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Pada Jumaat, Ismee ditanya sama ada Nik Faisal - kini dalam buruan pihak berkuasa - memberi gambaran salah berkenaan pemindahan hak milik SRC International daripada 1MDB kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) pada awal 2012.

Harvinderjit memberikan tumpuan berkenaan sama ada Nik Faisal mendakwa pemindahan itu mendapat lampu hijau bekas menteri di jabatan perdana menteri Nor Mohamed Yakcop yang ketika itu bertanggungjawab terhadap Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Saksi ke-39 pendakwaan itu juga ditanya berkenaan pinjaman RM2 bilion pertama, dengan RM1.8 bilion di bawa ke luar negara dan baki RM200 juta kekal di Malaysia.

Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan saksi lain, kes pihak pendakwaan terhadap pertuduhan terhadap Najib berkenaan salah guna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC International hanya melibatkan pinjaman RM2 bilion kedua, yang diterima pada Mac 2012.

Lihat Komen
ADS