Pemangku Ketua Pemuda Gerakan, Jason Loo hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di George Town bahawa beliau tidak berniat jahat atau ingin menfitnah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, menerusi kenyataannya berhubung penjualan tanah di Peel Avenue kepada Island Hospital.

Loo sebaliknya berkata beliau hanya mahukan penjelasan berhubung penjualan tanah tersebut daripada kerajaan negeri yang dipimpin oleh DAP berikutan tidak mengetahui tentang penjualan tanah berkenaan kerana tiada sebarang pengumuman dibuat berhubung perkara itu.

"Saya tidak bersetuju kenyataan saya bagi tiga artikel yang diterbitkan dalam akhbar China Press, Guang Ming dan Kwong Wah Yit Poh bertarikh 29 Mei 2015 dan 9 Jun 2017 itu mengandungi pernyataan yang berunsur fitnah, palsu dan berniat jahat terhadap plaintif.

"Kenyataan saya tidak merujuk kepada plaintif (Lim) sebaliknya ia merujuk kepada penjualan tanah kerajaan Peel Avenue tersebut oleh kerajaan negeri Pulau Pinang," katanya menerusi pernyataan saksi semasa memberikan keterangan dalam kes saman fitnah yang difailkan Lim terhadapnya berhubung penjualan tanah berkenaan.

Loo berkata kesemua artikel berkenaan ditulis selepas kerajaan negeri enggan menjawab soalannya mengenai penjualan tanah kerajaan Peel Avenue melalui Ketua Menteri Diperbadankan (CMI) tanpa tender terbuka kerana parti Gerakan tidak mempunyai sebarang kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain itu, Loo berkata kerajaan negeri hanya membuat pengumuman berhubung penjualan tanah itu selepas perkara tersebut didedahkan oleh sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Adalah munasabah untuk saya selaku seorang rakyat awam yang berhak untuk mengetahui kebenaran serta obligasi untuk memastikan kerajaan semasa sentiasa bertanggungjawab terhadap setiap keputusan mereka terhadap rakyat," katanya.

Katanya, segala pertanyaan dan permintaan penjelasannya berhubung perkara terbabit adalah berpatutan dan tidak mengandungi pernyataan berunsur fitnah, palsu, berniat jahat dan ia dinyatakan untuk kepentingan awam.

Loo merupakan saksi defendan pertama memberikan keterangan itu dan beliau juga bertindak mewakili dirinya sendiri dalam kes saman tersebut.

Guan Eng, yang kini Menteri Kewangan, telah mengemukakan tiga saman terhadap kenyataan Loo pada sidang media pada 29 Mei, 2017 berhubung dengan penjualan tanah tersebut.

Pada Februari 2018, Guan Eng memfailkan tiga saman fitnah secara berasingan terhadap Loo kerana dengan niat jahat membuat kenyataan palsu dan fitnah serta akhbar The China Press Bhd dan Guang Ming Ribao kerana menerbitkan kenyataan tersebut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Rosilah Yop bersambung esok.

- Bernama