Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali meluahkan rasa terharu kepada timbalan presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkenaan isu dakwaan klip video seks yang menimpa dirinya.

“Saya menyambut baik sokongan dan menghargai pandangan bernas Timbalan Presiden PAS menolak budaya politik kotor kerana cubaan mengalih perhatian orang ramai daripada keadaan semasa.

“Terima kasih atas nasihat untuk terus sabar berdepan fitnah. Insha Allah, saya kekal tenang,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Terdahulu Tuan Ibrahim menasihati orang ramai supaya tidak terperangkap dengan isu berhubung dengan video seks yang melibatkan Azmin.

Selain menyifatkan perkara tersebut adalah helah untuk mengalih perhatian orang ramai, pemimpin PAS juga tidak menolak kemungkinan video itu tersebar akibat konflik dalaman di PH.

Tuan Ibrahim juga memetik kata-kata yang pernah dinyatakan bekas mursyidul am PAS, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kata Tuan Ibrahim, Nik Aziz menasihati agar bersabar semasa dilanda ujian kerana keadaan tidak akan banyak berubah jika ia tidak ditangani dengan betul.

"Allahyarham Nik Aziz Nik Mat juga pernah sebut, kalau ribut tengah kuat, tundukkan kepala; kalau sebarang jawapan dibuat ketika 'ribut' kuat, orang takkan terima, jawablah macam mana cara sekalipun.

"Kita kena tenang. Sama juga dalam kes ini - kena sabar, dekatkan diri dengan Allah SWT," katanya.

Sementara itu, pihak polis mungkin merakam kenyataan dari Azmin berkenaan video tersebut pada esok atau lusa.

Azmin turut menyifatkan video yang disebarkan oleh individu tidak dikenali melalui Whatsapp itu adalah komplot jahat untuk merosakkan kerjaya politiknya.

Terdapat juga spekulasi bahawa kumpulan penyokong presiden PKR Anwar Ibrahim didakwa menjadi dalang kepada klip video tersebut.

Walau bagaimanapun, Anwar menafikan beliau atau penyokongnya bertanggungjawab.

Azmin juga menggesa lembaga disiplin PKR untuk menyiasat dan mengambil tindakan bagaimana pihak yang menyebarkan video itu boleh mendapatkan nombor telefon ketua cabang PKR dan pekerja parti itu untuk dimasukkkan ke dalam kumpulan Whatsapp berkenaan.

Bagaimanapun setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata biro politik parti itu memutuskan untuk menyerahkan perkara tersebut kepada pihak polis.