Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
TPM rakam ucapan takziah atas pemergian Morsi
Diterbitkan:  Jun 18, 2019 10:28 AM
Dikemaskini: 2:28 AM

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail merakamkan rasa sedih berhubung kematian bekas presiden Mesir, Mohammed Morsi.

Beliau menyifatkan pemergian Morsi sebagai kerugian besar terhadap demokrasi.

"Sangat sedih dengan pemergian Morsi, yang dipilih sebagai Presiden ke-5 Mesir secara demokratik.

"Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarganya dan rakyat Mesir. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya di dalam Jannah," katanya di Twitter.

Sementara itu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim juga menzahirkan ucapan takziah di Facebook.

"Meski terdapat kesempatan singkat sebagai presiden Mesir sebelum digulingkan tentera pimpinan Abdel Fatah al Sisi, Mohammed Morsi ternyata punyai komitmen yang bukan kecil dalam memungkinkan perubahan yang didambakan warga Mesir setelah puluhan tahun dicengkam oleh persekitaran yang zalim dan bobrok.

"Pemergian beliau ternyata akan meninggalkan dampak besar, bukan sahaja pada warga Mesir, malah umat juga," jelasnya.

Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda Amanah, Mohd Nasaie Ismail pula menyeru siasatan terbuka ke atas kematian Morsi.

"Tambahan pula dua badan bebas antarabangsa iaitu Human Right Watch (HRW) dan Panel Review Detention (PRD) telah memberikan amaran sebelum ini bahawa kegagalan pihak berkuasa Mesir untuk memberikan rawatan perubatan dan makanan yang mencukupi kepada Muhamad Morsi dan tahanan tahanan yang lain akan menyebabkan kematian terhadap Presiden yang dipilih rakyat tersebut," katanya dalam kenyataan.

Morsi yang merupakan salah seorang tokoh dalam dunia Islam sebelum ini dibicarakan atas tuduhan pengintipan.

Beliau dipenjarakan sejak digulingkan oleh tentera pada tahun 2013 selepas hampir setahun berkuasa berikutan bantahan besar-besaran terhadap kepimpinannya.

Menurut Reuters, pendakwa raya berkata Morsi rebah sejurus selepas perbicaraan di mahkamah dan meninggal dunia di hospital pada Isnin.

Lihat Komen
ADS