Paling Popular
Terkini

Pihak berkuasa mendapatkan bantuan Cybersecurity Malaysia bagi membantu siasatan terhadap video seks sejenis yang didakwa melibatkan menteri ekonomi Azmin Ali.

Bagaimanapun, syarikat seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) itu enggan mengulas lanjut sama ada mereka diminta menganalisis video itu atau mengesan penyebarnya.

“Kita di Cybersecurity Malaysia ada pakar forensik digital.

“Ada (forensik) audio, video, multimedia, komputer, jadi terpulanglang kepada apa yang pihak berkuasa mahu.

“Saya tak mahu ulas secara terperinci,” kata ketua pegawai eksekutif (CEO) Cybersecurity Malaysia Amirudin Abdul Wahab ketika ditemui pemberita pemberita di persidangan pertahanan siber di Kuala Lumpur hari ini.

Haziq Abdullah Abdul Aziz 

Minggu lepas, Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz membuat pengakuan mengejutkan dia terlibat dengan hubungan seks sejenis dengan Azmin.

Azmin menafikan perkara itu, menyifatkannya sebagai komplot untuk menjatuhkannya dan mengancam tindakan undang-undang.

Masih dalam siasatan, kata SKMM

Sementara itu, dalam persidangan teknologi lain, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) enggan memberikan maklumat lanjut.

“Malangnya kami tidak boleh beri perkembangan apa-apa kerana pada masa ini ia masih dalam siasatan dan semuanya rahsia,” kata pengerusinya Al Ishal Ishak.

Al Ishal berkata mereka masih bekerjasama dengan pasukan petugas polis dalam menyiasat perkara itu.

Media Australia SBS News semalam memetik pandangan pakar bahawa video lucah itu tidak menunjukkan tanda-tanda diubah.

Organisasi itu bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada Azmin ialah pelaku dalam video itu.

Al Ishal enggan mengulas dapatan itu.

Lihat Komen
ADS