Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kit Siang gesa siasatan antarabangsa kematian Morsi
Diterbitkan:  Jun 18, 2019 12:47 PM
Dikemaskini: 5:40 AM

Anggota parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang menyeru siasatan antarabangsa dibuat susulan kematian bekas presiden Mesir Mohamed Morsi pada Isnin.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang menggesa siasatan antarabangsa susulan kematian bekas presiden Mesir, Mohamad Morsi ketika sedang dibicarakan di mahkamah pada Isnin.

Menurutnya, siasatan itu perlu untuk mengetahui jika beliau tidak diberikan kemudahan perubatan asas ketika berada dalam tahanan.

“Perlu diadakan satu siasatan antarabangsa untuk menyiasat kematian Morsi untuk mengetahui sekiranya beliau tidak diberikan kemudahan perubatan asas semasa dipenjarakan,” ujar veteran DAP tersebut melalui sebuah kenyataan.

Morsi meninggal dunia pada usia 67 tahun setelah pengsan ketika perbicaraan di mahkamah.

Pemimpin gerakan Islam berpengaruh, Ikhwanul Muslimin, itu hidup dalam penjara selepas digulingkan dan berdepan beberapa pendakwaan yang dikaitkan dengan kegiatan keganasan.

Lim berkata, kerajaan Mesir perlu bertanggungjawab ke atas kematian Morsi jika siasatan menyeluruh menunjukkan punca kematiannya adalah disebabkan kegagalan mereka untuk memberikan penjagaan kesihatan asas kepada beliau.

Beliau memetik kenyataan kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International menyatakan bahawa terdapat laporan yang ditulis dua tahun lalu, menggambarkan layanan yang diterima Morsi sebagai “kejam dan tidak berperikemanusiaan.”

Menurut Lim, Pihak Amnesty International turut menggesa satu siasatan dilancarkan berkaitan kematian Morsi serta keadaan yang dialaminya ketika dipenjarakan.

“Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa perlu menyiasat secara menyeluruh terhadap laporan yang dibuat selama beberapa tahun menceritakan tentang layanan buruk yang diterima beliau(Morsi),”

“Selain laporan-laporan tersebut, kenyataan yang dibuat oleh anak lelaki Morsi, Ahmad, mengatakan bahawa keadaan kesihatan bapanya yang semakin buruk ketika dipenjarakan juga tidak diendahkan oleh pihak berkuasa Mesir,” ujarnya lagi.

Lihat Komen
ADS