Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: hanya keluarga terdekat, peguam hadir pengebumian Morsi

GLOBAL Jenazah Presiden pertama Mesir yang dipilih secara demokratik, Mohamed Morsi dikebumikan pada awal Selasa, yang hanya dihadiri anggota keluarga terdekat dan peguamnya, lapor agensi berita Anadolu.

Bekas pemimpin itu, dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada Isnin ketika perbicaraan kesnya di mahkamah, dikebumikan kira-kira pukul 5 pagi (0300GMT) di bandar Nasr, timur Kaherah, dengan kawalan ketat, menurut sumber enggan dikenali.

Menurut sumber, hanya abang, anak, isteri serta dua peguam Morsi dilihat hadir pada pengebumian itu.

Terdahulu, pihak berkuasa Mesir menolak permintaan keluarga Morsi untuk jasadnya disemadikan di kampung halamannya di wilayah Sharqia, kata anaknya, Abdullah Mohamed Morsi kepada Reuters pada Isnin.

Stesen televisyen negara melaporkan awal Selasa, Morsi "menderita tumor benigna dan menjalani rawatan berterusan, kematiannya disebabkan serangan jantung".

Awal Isnin, pendakwa raya Mesir, Nabil Sadek, berkata pemimpin berusia 67 tahun itu rebah dan segera dikejarkan ke hospital, di mana beliau disahkan meninggal dunia. Tiada terdapat sebarang tanda kecederaan pada tubuhnya.

Morsi berdepan pelbagai pertuduhan sejak beliau diguling dan dipenjarakan dalam kudeta tentera pada 2013, yang dipimpin Presiden Abdel-Fattah al-Sisi.

Terdapat enam pertuduhan terhadap bekas pemimpin itu termasuk "melarikan diri dari penjara, melakukan pembunuhan, mengintip untuk Qatar, mengintip untuk Hamas dan Hezbollah, menghina badan kehakiman dan penglibatan dalam keganasan."

Menurut keluarganya, Morsi menghidap penyakit kencing manis serta buah pinggang dan tidak diberikan rawatan perubatan sewajarnya.

Amnesty International berkata dalam tempoh enam tahun ditahan, beliau telah diasingkan dari dunia luar dan hanya tiga lawatan keluarga dibenarkan, selain dihalang mendapat akses kepada peguam atau doktor.

Turki menjadi negara pertama memberikan kenyataan berhubung kematian Morsi, apabila Presiden Recep Tayyip Erdogan menyifatkan kematian pemimpin itu sebagai "satu perjuangan" dan sejarah tidak sama sekali akan melupakan bagaimana beliau ditindas hingga ke hujung nyawa.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Turki berkata, Morsi akan dikenang sebagai "manusia luar biasa yang berjuang untuk negara demokrasi".

Solat jenazah ghaib

Solat jenazah ghaib akan diadakan di masjid di seluruh Turki pada Selasa.

Emir Qatar Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani turut merakamkan ucapan takziah dan rasa sedihnya atas berita kematian itu.

Ikhwanul Al Muslimin dalam satu kenyataan mendakwa kematian Morsi adalah "satu pembunuhan" dan menyalahkan kerajaan Mesir kerana menahan dan menghalang beliau mendapat rawatan.

Sejak Morsi digulingkan, menyaksikan serangan keras terhadap pembangkang, ratusan penyokong bekas presiden itu sama ada dibunuh atau dipenjarakan atas tuduhan melakukan keganasan.

Parti Morsi, Ikhwanul Muslimin, kemudian secara rasminya dituduh sebagai "organisasi pengganas" di Mesir.

- Bernama

Lihat Komen
ADS