Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kelantan sambut baik cadangan pindahkan Orang Asli suku Bateq

Kerajaan Kelantan difahamkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sedang merancang memindahkan masyarakat Orang Asli suku Bateq keluar dari Kampung Kuala Koh, di Jajahan Gua Musang, yakni kawasan penempatan Orang Asli yang mengejutkan negara selepas 112 Orang Asli dari suku berkenaan dilaporkan mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan di kawasan itu.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah berkata difahamkan masyarakat suku berkenaan akan dipindahkan ke satu penempatan yang lebih baik agar kesihatan dan kehidupan mereka dapat dipantau dengan lebih baik selepas ini.

"Kita ada dengar ada pandangan daripada Jakoa untuk memindahkan penduduk ke tempat yang lain dan mereka akan diberi penempatan yang lebih baik di bawah kawalan dan pencegahan.

"Ia perkara yang bagus dan usaha itu satu perkara yang baik," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan di JKR10 di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak berhasrat untuk mendahului sebarang perancangan Jakoa kerana agensi itu telah dipertanggungjawabkan secara khusus bagi menangani sebarang permasalahan berkaitan Orang Asli.

"Kita kerajaan pun kalau ada apa-apa kita rujuk kepada Jakoa dan tak pernah mendahului agensi itu. Kita ikut belakang Jakoa," katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan sebagai berkata sebanyak 37 daripada 112 Orang Asli suku Bateq di Kampung Kuala Koh, Gua Musang yang dilaporkan mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, didapati dijangkiti wabak demam campak.

Dr Dzulkefly turut dipetik sebagai berkata daripada 112 kes Orang Asli itu, tiga kematian telah direkodkan oleh Kementerian Kesihatan, dengan mangsa terbaharu merupakan kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun enam bulan, yang meninggal dunia akibat komplikasi demam campak.

- Bernama

Lihat Komen
ADS