Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Polis tumpaskan dua sindiket dadah susulan penahanan 13 individu dan ​merampas sejumlah dadah kira-kira RM146,000​ dalam operasi selama lima hari bermula Khamis di sekitar ibu negara.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP S. ​​Shanmugamoorthy Chinniah berkata ​kesemua suspek terdiri 10 lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang lelaki warga India berusia 30 hingga 56 tahun​ itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

M​engulas tangkapan sindiket pertama pada Khamis, beliau berkata seorang lelaki berusia 56 tahun yang membawa satu paket dadah jenis heroin​ ditahan di Jalan Segambut pada 11.30 pagi.

"Susulan penahanan lelaki itu, polis menahan enam lagi suspek di sekitar ibu negara pada Jumaat dan Sabtu serta merampas pelbagai jenis dadah serta wang tunai berjumlah RM79,000.

"​​​Ujian saringan air kencing mendapati ​enam suspek positif dadah dan​ mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya pada sidang akhbar di IPD Sentul hari ini.

Mengulas tangkapan sindiket kedua,​ Shanmugamoorthy berkata lima lelaki dan seorang wanita ditahan di ​Medan Putra Business Centre kira-kira 2 pagi Isnin (17 Jun)​.

"​Pemeriksaan terhadap kenderaan milik seorang daripada suspek membawa kepada penemuan ​​pelbagai jenis dadah ​seperti​ heroin, methamphetamine dan​​ pil yaba bernilai RM22,300.

​"​​Tiga suspek positif ujian saringan air kencing dan seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah," katanya.

​Shanmugamoorthy berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua kumpulan itu bergiat aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu.

"Polis percaya dadah yang dirampas adalah untuk diedarkan kepada lebih 7,000 penagih," katanya.

​Beliau berkata, kesemua suspek direman tujuh hari bermula Jumaat (14 Jun) dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS