Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hanya 13 murid Orang Asli Sg Berua hadir sekolah

Hanya 13 daripada 109 murid Orang Asli hadir ke Sekolah Kebangsaan Sungai Berua hari ini, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussain.

Beliau berkata hasil tinjauannya ke sekolah itu hari ini mendapati hampir 88 peratus murid tidak hadir kerana mengikut ibu bapa mereka berpindah sementara ke perkampungan Orang Asli berhampiran iaitu di Kampung Gerdong.

"Saya difahamkan perpindahan lebih daripada 150 Orang Asli di Sungai Berua ini bermula sejak dua minggu lepas kerana bimbangkan keselamatan mereka susulan kehadiran beberapa Orang Asli dari Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan ke kampung mereka yang dikatakan lari daripada penyakit setelah ramai meninggal dunia.

"Ketika ini, Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu masih dalam proses memujuk mereka untuk pulang semula ke Sungai Berua bagi memastikan pendidikan anak-anak tidak tercicir," katanya kepada pemberita hari ini.

Mengikut rekod sekolah itu, seramai 23 murid layak menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah itu namun yang hadir ke kelas pada minggu ini hanyalah tujuh orang.

Shafruddin berkata walaupun jumlah kehadiran pelajar sangat sedikit, sesi pembelajaran masih diteruskan seperti biasa.

"Kesemua murid yang hadir diberi penutup mulut dan hidung sebagai langkah pencegahan terhadap risiko jangkitan kesihatan, malah perhimpunan pagi tadi juga mengingatkan mereka agar lebih prihatin dengan kebersihan diri dan kawasan sekitar.

"Pengurusan sekolah juga bekerjasama rapat dengan doktor dari Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu untuk memantau kesihatan murid yang datang ke sekolah dan mengadakan ceramah kesihatan kepada mereka," katanya.

Terdapat seramai 600 orang tinggal di Sungai Berua dengan 119 ketua isi rumah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS