Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M akan ketuai delegasi M'sia ke Sidang Kemuncak Asean

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Asean ke-34, serta Sidang Kemuncak yang berkaitan di Bangkok, Thailand, dari 20 sehingga 23 Jun ini.

Perdana Menteri akan diiringi oleh Isterinya Dr Siti Hasmah Ali; Menteri Luar Saifuddin Abdullah; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ignatius Darrel Leiking; serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali di samping pegawai-pegawai dari Pejabat Perdana Menteri, Wisma Putra, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan juga Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Dengan tema ‘Advancing Partnership for Sustainability’, Sidang Kemuncak Asean ke-34 itu adalah Sidang Kemuncak pertama diadakan dengan Thailand sebagai pengerusinya tahun ini, menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini.

Sidang Kemuncak itu akan memberikan peluang kepada para pemimpin negara-negara anggota Asean, untuk saling bertukar pandangan berhubung hala tuju masa depan perkumpulan itu dan proses pembinaan komunitinya, di samping pelaksanaan Wawasan Komuniti Asean 2025, dan berbincang mengenai isu-isu penting peringkat serantau dan antarabangsa.

Perdana Menteri, dan juga lain-lain menteri, akan mengambil bahagian dalam tiga pertemuan, yakni pertemuan pemimpin-pemimpin Asean dengan perwakilan Persidangan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA); pertemuan pemimpin-pemimpin Asean dengan perwakilan Belia Asean, serta pertemuan pemimpin-pemimpin Asean dengan Majlis Penasihat Perniagaan Asean (Asean-Bac).

Kementerian Luar berkata Dr Mahathir juga akan mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak ke-13 Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan Sidang Kemuncak ke-12 Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia, Thailand (IMT-GT) yang akan berlangsung pada 23 Jun.

Dalam lawatan itu Perdana Menteri juga akan merasmikan program Malaysia Fest di 2019 di the Central World Shopping Mall, di samping mengadakan mesyuarat perniagaan meja bulat dengan tokoh-tokoh industri Thailand pada 21 Jun.

- Bernama

Lihat Komen
ADS