Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

MUKTAMAR PAS | Suasana yang kurang panas sepanjang persidangan tahunan Pemuda PAS di pusat percutian Bukit Gambang Resort dekat Kuantan hari ini tiba-tiba bertukar sedikit mendebarkan dengan perkembangan yang tidak dijangka.

Ia bermula dengan sesi pembentangan Laporan Kewangan 2018 oleh Bendahari Pemuda PAS Muhtar Suhaili.

Seorang perwakilan berpakaian lengkap Jabatan Amal, Amirul Jufri Mat Saman, bangkit mahu bertanyakan soalan namun ditegur Pengerusi Tetap Kamal Ashaari kerana dianggap bersyarah dan tidak mengemukakan soalan selepas beberapa minit bercakap.

Selepas itu beliau meminta izin kepada pengerusi tetap untuk bercakap dan bertanya tentang perkara lain yang tidak berkaitan dengan laporan kewangan yang dibentangkan.

Dalam ucapan ringkasnya Amirul Jufri berkata Pemuda PAS Perlis rasa terguris apabila majlis perasmian pagi tadi mengundang Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu sebagai tetamu.

Selepas bercakap beberapa minit pengerusi tetap bersetuju memberi peluang kepada Amirul Jufri untuk bercakap dalam sesi perbahasan wakil-wakil negeri selepas itu, dan beliau bersetuju.

"Saya mewakili perwakilan Pemuda PAS Perlis mahu penjelasan daripada dewan yang mulia ini, mengapa Muhammad Zamri Vinoth dijemput memberi ucapan?

"Kami dari Perlis lebih mengenali siapa beliau.

"Kalau tiada penjelasan, kami semua perwakilan Perlis akan keluar dari dewan ini," katanya.

Dalam ucapannya Amirul Jufri menyifat kepimpinan Pemuda PAS pusat tidak begitu mengenali Muhammmad Zamri serta seorang lagi tokoh yang dekat dengan penceramah itu yang juga Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Selepas diberi nasihat dan arahan oleh Kamal, beliau bersetuju menamatkan kata-katanya namun dipercayai luahan tersebut berkait dengan insiden yang menyebabkan kebakaran kereta Mohd Asri pada 22 Mac lalu.

Merujuk kes tersebut, tiga anggota Jabatan Amal ditahan reman oleh pihak polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Hangpa (kalian) tak kenal lagi siapa Maza (Mohd Asri), hangpa tak kenal lagi siapa Zamri Vinoth.

"Empat hari kami duduk dalam lokap, dia inilah orang yang menyebarkan fitnah kepada kami empat anggota Jabatan Amal di Perlis. 

"Apakah ini sikap Dewan Pemuda PAS Malaysia terhadap kami? Kami orang Perlis. 

"Kami lebih kenal (mereka) tuan-tuan, bertanyalah sepatah kepada kami. Adakah antum (kamu semua) lebih rela berkawan dengan depa berbanding berkawan dengan kami? 

"Kami orang Perlis, bertanyalah sepatah kepada kami (sebelum jemput)," kata Amirul Jufri yang turut meminta diberi ruang untuk meneruskan ucapan.

Kamal kemudian meminta Amirul Jufri memahami keadaan dan menyatakan sesi pembentangan laporan kewangan itu bukanlan ruangan untuk menyatakan apa yang ingin dikatakannya.

"Bila ruangnya ustaz, saya nak minta konfem (pengesahan)," katanya.

Selepas duduk, Amirul Jufi enggan melayan soalan yang dikemukakan wartawan. 

Sesi pembentangan dan perbahasan laporan kewangan itu kemudian diteruskan seperti biasa.


N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Alyaa Alhadjri dan Lu Wei Hoong menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Komen
ADS