Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ibu dakwa anak mungkin cacat kena tembak polis trafik - Laporan
Diterbitkan:  Jun 19, 2019 11:16 PM
Dikemaskini: 3:16 PM

Seorang ibu mendakwa anaknya mungkin akan mengalami kecacatan kekal selepas ditembak seorang anggota polis trafik, lapor Utusan Online hari ini.

Ini hanya disebabkan mangsa dan rakannya yang menaiki motosikal melanggar lampu isyarat merah sebelum cuba diberhentikan pihak berkuasa, dakwa Hashimah Mahmood, 49 tahun petik laporan itu lagi.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 10 pagi tadi di di Jalan Langgar berhampiran Jalan Datuk Kumbar di Alor Setar.

Menurut Hashimah, anaknya Mohamad Alif Aiman Anuar, 21, cedera di bahagian tangan kirinya akibat ditembak seorang anggota polis trafik ketika cuba memberhentikan motosikal dinaiki mangsa dan rakannya di Jalan Langgar berhampiran Jalan Datuk Kumbar di Alor Setar, hari ini.

Utusan Online melaporkan Hashimah berkata Alif sedang membonceng motosikal ditunggang oleh rakannya untuk ke tempat kerja mereka di Alor Mengkudu di Alor Setar sebelum dikatakan melanggar lampu isyarat merah mendorong anggota polis trafik yang kebetulan berada di tempat tersebut bertindak mengejar mereka.

Hashimah dipetik berkata Mohamad Alif Aiman yang bekerja sebagai tukang paip kini kritikal dan ditempatkan di Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

“Saya dan keluarga mengakui anak saya bersalah kerana melarikan diri semasa cuba ditahan, yang dipercayai disebabkan rakannya itu tiada lesen memandu.

“Namun tindakan anggota itu meninggalkan anak saya dalam keadaan berlumuran darah untuk membuat laporan polis tanpa berusaha memanggil ambulans adalah tidak wajar.

“Saya ingin menuntut keadilan untuk anak saya yang mungkin kini cacat seumur hidup,” katanya.

Hashimah juga berkata pembedahan mengeluarkan sebutir peluru pada tangan anaknya berlangsung malam ini.

Utusan Online juga melaporkan Hashimah memetik percakapan anaknya memberitahu anggota trafik tersebut melepaskan tembakan di bahagian tayar motosikal tetapi tersasar dan mengenai mangsa.

Hashimah turut mendakwa anggota berkenaan juga meminta anaknya itu untuk tidak mendapatkan rawatan di hospital, sebaliknya hanya ke klinik sahaja.

“Rakan anak saya telah menelefon majikan mereka sebelum mendapatkan khidmat ambulans,” katanya lagi.

Jelasnya, anaknya itu bersih daripada sebarang rekod jenayah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Mior Farid Al Athrash Wahid dipetik Utusan Online mengesahkan kejadian tersebut.

Lihat Komen
ADS