Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

MUKTAMAR PAS | Pimpinan Pemuda PAS hari ini secara terbuka memohon maaf kepada perwakilan dari Perlis yang terguris apabila panitia muktamar memberi ruang khas kepada anak didik Dr Zakir Naik, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu untuk berucap di majlis tahunan mereka semalam.

Naib Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata pendakwah dan pencemarah terbabit dijemput hadir atas kapasitinya sebagai protege Zakir.

"Kita nak nyatakan sokongan atas isu yang menimpa beliau (Zakir). Dan apabila beliau (Zamri) hadir, maka ada permintaan daripada kawan-kawan: apa salahnya beliau dibenarkan untuk berucap.

"Memang menjadi amalan panitia muktamar sudah beberapa kali kita beri ruang kepada tetamu untuk berucap," katanya yang sebelum ini berkhidmat sebagai setiausaha Pemuda PAS.

Menurut Afnan Hamimi, atas kapasitinya sebagai pengarah panitia muktamar kali ini, beliau berbincang dengan pengerusi tetap dan mereka mendapati masa yang paling sesuai adalah semalam.

Berucap pada sesi penggulungan, Afnan Hamimi berkata, Muhammad Zamri menunggu dari pagi hingga petang untuk memberikan ucapan dan pada masa sama tidak mengetahui ada isu berbangkit, khususnya membabitkan Pemuda PAS Perlis.

Semalam Malaysiakini melaporkan seorang perwakilan dari Perlis, Amirul Jufri Mat Saman bangkit bertanyakan soalan mengenai isu kemunculan Muhammad Zamri berucap pada muktamar Pemuda PAS namun ditegur Pengerusi Tetap Kamal Ashaari kerana dianggap bersyarah dan tidak mengemukakan soalan selepas beberapa minit bercakap.

Amirul Jufri yang lengkap dengan uniform Jabatan Amal kemudian meminta izin kepada pengerusi tetap untuk bercakap dan bertanya tentang perkara lain yang tidak berkaitan dengan laporan kewangan yang dibentangkan.

Dalam ucapan ringkasnya Amirul Jufri berkata Pemuda PAS Perlis rasa terguris apabila majlis perasmian pagi tadi mengundang Muhammad Zamri sebagai tetamu.

Seterusnya hari ini pada sesi pembahas ucaptama ketua pemuda PAS, giliran seorang lagi perwakilan Perlis, Mohamad Azreen Jumri menyatakan mereka rasa terkilan apabila anak murid Zakir - dan dekat dengan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin - itu diberi ruang istimewa dalam muktamar semalam.

Sementara itu, Afnan Hamimi menjelaskan pihaknya tidak ada maklumat terperinci tentang hal tersebut.

"Kami juga ada kesilapan tidak menyemak terlebih dahulu tentang perkara tersebut. Jadi atas perkara ini yang menimbulkan rasa tidak senang sahabat-sahabat dari Perlis, maka Pemuda PAS di muktamar hari ini secara khusus meminta maaf kepada perwakilan Perlis," katanya.


N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Alyaa Alhadjri dan Lu Wei Hoong menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Komen
ADS