Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banduan akhir terpilih sambut hari jadi anak bongsu

Kegembiraan jelas terpancar pada wajah banduan akhir, Nasir (bukan nama sebenar) kerana terpilih mengikuti program Jalinan Kasih Hari Raya Aidilfitri Penjara Reman Pulau Pinang, di George Town yang memberi peluang kepadanya untuk bertemu anggota keluarga malah buat pertama kali dapat menyambut ulang tahun kelahiran anak bongsunya.

Nasir, 36, yang menghuni penjara itu sejak 2010 kerana kesalahan mengedar dadah berkata hari ini merupakan ulang tahun kelahiran anak perempuannya berusia sembilan tahun dan mereka sangat gembira dapat meraikannya bersama anak sulungnya serta sembilan lagi anggota keluarganya.

"Saya ada dua orang anak perempuan berusia 12 tahun dan sembilan tahun. Alhamdulillah hari ini kami dapat bersama-sama menyambut hari raya dan hari jadi anak bongsu saya bersama anggota keluarga lain termasuk ibu saya berusia 68 tahun yang turut hadir berkerusi roda.

"Saya juga sangat bersyukur kerana ibu dan adik-beradik yang lain sentiasa memberi sokongan kepada saya walaupun tahu saya banduan akhir malah mereka turut menjaga dua anak saya itu dengan baik selepas (saya) berpisah dengan isteri," katanya kepada pemberita pada majlis itu.

Selain Nazri, sembilan lagi banduan termasuk tiga banduan akhir terpilih mengikuti program Jalinan Kasih Hari Raya Aidilfitri itu yang memberi peluang kepada mereka bertemu anggota keluarga masing-masing. Suasana pilu dapat dilihat selepas mereka berpelukan dengan keluarga terutama anak-anak banduan berkenaan.

Banduan akhir merupakan kategori banduan yang melakukan jenayah berat yang telah melalui proses kehakiman selama bertahun-tahun, sebelum disabitkan kesalahan dan akhirnya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh mahkamah.

Nazri yang berasal dari Jalan Free School, Jelutong di George Town berkata beliau cuma terkilan kerana ayahnya tidak dapat bersamanya pada sambutan Hari Raya hari ini selepas meninggal dunia April lepas akibat kencing manis.

"Kali terakhir saya membuat rayuan bagi meringankan hukumannya ialah pada 2016. Namun masih tiada kata putus dan saya akan terus menunggu walaupun tidak pasti sama ada masih punya harapan untuk pulang ke rumah," katanya.

Seorang lagi banduan akhir yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad Azam, 48, berkata beliau menghuni penjara itu sejak sembilan tahun lepas kerana membunuh rakannya sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atasnya pada 2013.

Katanya kejadian bunuh itu berlaku ketika dia dan rakannya berada di bawah pengaruh dadah dan beliau reda dengan keputusan berkenaan serta berharap tiga anak bersama tiga cucunya juga menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka.

"Saya tidak menyalahkan sesiapa atas kesalahan berkenaan kerana saya tahu itu salah saya sendiri sebab itu sekarang ini setiap kali anak-anak atau saudara datang melawat di penjara saya akan nasihatkan supaya jauhi dadah kerana ia bukan sahaja berbahaya kepada diri sendiri malah akan membawa malapetaka dalam hidup," katanya yang juga seorang bekas penjawat awam itu.

Mohamad Azam berkata beliau juga bersyukur tiga orang anaknya berumur antara 20 dan 30 tahun bersama tiga orang cucu berusia dua dan tujuh tahun sentiasa datang melawatnya terutama pada Program Jalinan Kasih Hari Raya malah bekas isterinya berumur 45 tahun juga turut hadir.

"Saya telah buat semua rayuan di mahkamah dan sekarang ini yang terakhir mengharapkan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong. Saya reda dengan apa sahaja keputusan malah berada di dalam penjara telah banyak merubah hidup saya menjadi seorang hamba yang lebih baik," katanya.

Sementara itu, Pengarah Penjara Reman negeri, Tey Hock Soon, berkata daripada 1,512 penghuni, hanya 10 banduan terbabit diberi peluang bertemu keluarga berdasarkan penampilan baik dan disiplin yang ditunjukkan selain atas persetujuan keluarga masing-masing.

Katanya program tahunan yang diadakan itu memberi peluang kepada banduan dan keluarga masing-masing menginsafi serta merapatkan semula silaturahim.

"Program ini mendapat maklum balas yang baik semua pihak dan memberi keinsafan kepada banduan berkenaan supaya tidak mengulangi lagi kesalahan lalu malah ia juga dapat membuka mata dan mengubah stigma dalam kalangan masyarakat bahawa banduan tidak lagi memberi manfaat selepas dibebaskan sebaliknya di sini, mereka diasah dengan pelbagai aspek termasuk kemahiran dan disiplin,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS