BERITA Malaysiakini

Agong saran selaras fatwa pusat ke peringkat negeri

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah bagi isu-isu kepentingan nasional yang diputuskan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan telah diambil maklum oleh Majlis Raja-Raja, maka disyorkan supaya menyelaraskan fatwa berkenaan untuk diterima pakai di peringkat negeri masing-masing.

Bernama melaporkan baginda bertitah syor tersebut untuk menjadikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebagai fatwa rasmi dan hanya negeri-negeri sahaja yang mempunyai bidang kuasa untuk mewartakannya.

“Penyeragaman fatwa melalui penyiaran fatwa di dalam warta memperlihatkan solidariti negeri-negeri dalam isu-isu yang berkaitan dengan hukum syarak atau fatwa di negara ini.

“Ia juga akan memberikan gambaran dan imej yang positif terhadap pengurusan hal ehwal Islam di negara ini dalam konteks fatwa,” titah baginda, lapor agensi berita nasional.

Baginda juga dipetik Bernama bertitah terdapat beberapa undang-undang syariah utama telah diseragamkan di negeri-negeri namun masih terdapat satu undang-undang syariah utama yang masih belum diseragamkan iaitu undang-undang kesalahan jenayah syariah.

Baginda bertitah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil sedang berusaha untuk berunding dan berbincang dengan negeri-negeri bagi mendapatkan maklum balas dan persetujuan untuk meminda dan menyeragamkan undang-undang kesalahan jenayah syariah di negeri-negeri.

Sultan Abdullah menyampaikan titah pada Majlis Munaqasyah Pengurusan Hal Ehwal Islam Negeri-Negeri di bawah naungan Seri Paduka Baginda di Istana Negara, di Kuala Lumpur hari ini.

Majlis tersebut dianjurkan bersama antara Istana Negara dan Jakim atas inisiatif Seri Paduka Baginda bagi memantapkan agensi-agensi agama supaya mempunyai keseragaman.

Penganjuran majlis itu dilaporkan bertujuan mendapatkan perkembangan hal ehwal agama di negeri-negeri di bawah naungan baginda iaitu Pahang, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, baginda selanjutnya dipetik Bernama bertitah pemerkasaan mahkamah syariah perlu dilaksanakan secara menyeluruh bermula daripada penyediaan sumber manusia yang terlatih, kemudahan infrastruktur dan sistem teknologi maklumat yang terkini serta penyusunan semula cara kerja bagi menghasilkan penyampaian perkhidmatan keadilan yang cekap dan efisien.

Titah baginda mahkamah syariah juga mesti diberikan kebebasan melaksanakan pentadbiran keadilan syariah menurut acuan prinsip syarak.

“Sebagai contoh fungsi pengendalian kes di mahkamah syariah tidak terhad kepada pengeluaran perintah sahaja bahkan melangkaui tanggungjawab memantau dan menguatkuasakan perintah yang telah dikeluarkan agar ianya dipatuhi dan dilaksana oleh pihak-pihak tertentu,” titah baginda.

Seramai 27 peserta menghadiri majlis itu termasuk semua pengerusi dan yang dipertua majlis agama Islam negeri, mufti-mufti negeri, para ketua hakim syarie dan pengarah jabatan agama Islam negeri di bawah naungan baginda.

Empat kertas kerja turut dibentangkan pada majlis itu iaitu berkaitan cadangan Pelaksanaan Diat Dalam Sistem Keadilan di Malaysia, Penambahbaikan Pelaksanaan Hadhanah di Malaysia, Penyeragaraman Undang-undang Syariah Negeri-negeri di Malaysia dan Penyeragaman Fatwa Isu-isu Nasional di Malaysia.