Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Kedah harap dapat pampasan henti pembalakan di Ulu Muda
Diterbitkan:  Jun 20, 2019 6:39 PM
Dikemaskini: 10:39 AM

Kedah berharap kerajaan persekutuan memberikan pampasan yang setimpal dengan kerugian yang akan ditanggung kerajaan negeri itu selepas menghentikan pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda sejak tahun lepas.

Menteri Besar Mukhriz Mahathir berkata kerajaan negeri telah pun membangkitkan mengenai pampasan itu dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini.

“Sebelum ini (sebelum mesyuarat itu) kami telah pun menulis surat kepada kerajaan persekutuan untuk mohon penjelasan mengenai peruntukan disediakan oleh kerajaan persekutuan melalui Bajet 2019 berkaitan dengan pampasan kepada negeri yang membuat keputusan tidak lagi atau mengurangkan aktiviti pembalakan untuk tujuan menjaga bekalan air.

“Jadi kami harap kerajaan persekutuan pertimbangkan (permintaan) kerajaan negeri Kedah, sebab bajet itu ada, dan Kedah sangat memerlukannya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti di Alor Setar, hari ini.

Bagaimanapun, Mukhriz berkata kerajaan negeri tidak menetapkan sesuatu angka untuk jumlah pampasan berkenaan tetapi bersedia mengemukakan pandangan kepada kerajaan persekutuan untuk dipertimbangkan.

“Contohnya, kalau dihentikan semua pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda apa kerugian yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri, bila kami sebut kerugian itu, kami harap lebih kurang angka itu juga kami akan dapat daripada kerajaan persekutuan,” katanya.

Pada Mac lepas, Mukhriz dilaporkan sebagai berkata kerajaan negeri komited dalam pemuliharaan khazanah alam di Hutan Simpan Ulu Muda walaupun kehilangan hasil hutan hingga mencecah puluhan juta apabila menghentikan aktiviti pembalakan di kawasan itu.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri menyambut baik tindakan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli yang akan mengeluarkan satu garis panduan dalam masa terdekat untuk menangani kegiatan pembalakan dan pengeluaran hasil hutan tidak terkawal.

Katanya, kerajaan negeri sememangnya prihatin soal kelestarian alam sekitar di negeri ini dan menyifatkan hutan di sini sebagai kawasan tadahan air yang penting.

“Tetapi kami kena perhalusi (garis panduan tersebut), kami pun nak faham juga apa yang dibenarkan, apa yang tak dibenarkan,” katanya.

Semalam, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar dilaporkan berkata pihaknya akan mencadangkan pindaan Akta Perhutanan Negara 1984 bagi membolehkan garis panduan itu dimasukkan ke dalam akta berkenaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS