Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS dan Amanah: Islam ada rundingan, ada medan perang

MUKTAMAR PAS | Biarpun terbuka untuk menjalinkan taawun siyasi dengan mana-mana parti, ketua baru Dewan Ulama PAS, Nik Zawawi Salleh menjelaskan sikap berkenaan dikecualikan jika membabitkan parti Amanah.

Katanya, mengikut dasar Islam ada beberapa kaedah ditetapkan agama mengenai kaedah berhubung dengan sesuatu pihak dan ia berbeza mengikut keadaan.

“Dia begini, Islam ni dia dua cara. Ada meja rundingan, ada medan peperangan. Dia ada sabar, ada yang mati syahid. Ini Islam, bukan (hanya) sejalur,” katanya.

Nik Zawawi berkata demikian kepada media selepas berakhirnya Muktamar Ulama PAS Pusat yang berlangsugn di Wisma Belia Bandar Indera Mahkota, Kuantan, hari ini.

Terdahulu anggota parlimen Pasir Puteh itu ditanya mengenai sikap Ulama PAS yang bersedia menjalin hubungan dengan mana-mana pihak atau parti demi menguntungkan Islam, termasuk PKR dan Bersatu.

Untuk rekod Amanah ialah parti politik yang ditubuhkan oleh sebahagian besar bekas pemimpin PAS yang diketepikan oleh pewakilan parti itu dalam muktamar ke-61 parti itu di Kuala Selangor.

Kata Nik Zawawi, bukan semua pihak boleh dibawa untuk bekerjasama, apatah lagi untuk pihak yang pernah "mengkhianati" PAS.

“Dalam Islam kita ikut kaedah yang dibawah oleh Nabi Muhammad SAW. Rasulullah dengan Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Sufyan, dia dakwah.

"Tapi dengan Abdullah bin Ubay, dia 'potong' (sekat), tak ada kerjasama.

“Dan PAS tegaskan, orang yang mengkhianati parti sebelum ini, kita takkan buka pintu rundingan dengan mereka. Itu jelas,” katanya yang dilantik sebagai ketua Ulama PAS yang baru pada hari ini.

Bagaimanapun, dia memberitahu pintu rundingan tetap terbuka buat ahli Amanah yang meninggalkan parti tersebut dan ingin balik menyertai parti PAS.

"Kecuali indiviu itu meninggalkan Amanah, nak mari (semula kepada PAS), itu ceita lain. Kita boleh terima," jawabnya ringkas.


N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Alyaa Alhadjri dan Lu Wei Hoong menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Komen
ADS