Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M setuju tak tukar TPM, kata Anwar
Diterbitkan:  Jun 20, 2019 9:28 PM
Dikemaskini: 1:28 PM

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata beliau dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersetuju untuk tidak menukar timbalan perdana menteri dan merombak kabinet.

Ini selepas Adun Jeram daripada Bersatu, Mohd Shaid Rosli mencadangkan Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan sebagai timbalan perdana menteri bagi memberi laluan kepada suaminya.

Anwar berkata beliau membincangkan hal berkenaan dalam mesyuarat ringkas bersama Dr Mahathir hari ini sebelum perdana menteri berlepas ke Bangkok untuk lawatan kerja ke negara tetangga itu.

"Dalam pertemuan itu saya menyatakan persetujuan terhadap pendirian beliau untuk memberi tumpuan kepada program pembangunan negara dan tidak memerlukan pertukaran timbalan perdana menteri dan kabinet," kata presiden PKR pada hantaran di Facebook.

Pada mesyuarat itu juga, Anwar menjelaskan berbincang dengan Mahathir mengenai siri klip video seks yang mengaitkannya dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

"Kami berdua turut membincangkan isu video lucah di mana saya mengulangi pendirian bahawa PKR menolak budaya politik jijik dan keji serta turut melahirkan rasa simpati terhadap Azmin Ali dan keluarganya.

"Membincangkan lebih lanjut, saya menegaskan wujudnya unsur politik terkait isu ini, maka adalah tidak wajar untuk memfitnah sesiapa yang menyebarkannya tanpa asas," katanya lagi.

Anwar berkata mereka juga membincangkan isu-isu semasa.

Terdahulu hari ini, Mahathir ditanya mengenai cadangan untuk Anwar menggantikan kedudukan Wan Azizah selalu timbalan perdana menteri.

Jawabnya: "Beliau (Adun Jeram) mempunyai hak untuk membuat cadangan itu. Mereka boleh membuat saranan tetapi sama ada saya terima atau tidak itu soal lain."

Lihat Komen
ADS