Paling Popular
Terkini

MUKTAMAR PAS | Dewan Ulama PAS Pusat menghargai kesanggupan Umno berlapang dada memberikan kerusi mereka dalam rundingan persiapan menghadapi pilihan raya bagi menghadapi PH.

Ketuanya Nik Zawawi Salleh berkata walaupun pengagihan kerusi di antara kedua-dua parti itu belum diputuskan, isu berkenaan masih boleh dirundingkan dalam suasana yang baik.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Umno yang sentiasa berlapang dada untuk menawarkan kerusi kepada kita. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada pimpinan Umno.

“Walaupun (ada) kerusi ini kerusi dia, tapi, banyak suara daripada rakan-rakan pimpinan Umno sebut, kalau PAS nak, bagitahu, kita boleh runding, tak ada masalah.

"Ini sikap yang sangat baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas berakhirnya Muktamar Dewan Ulama PAS di Wisma Belia Bandar Indera Mahkota, Kuantan hari ini.

Sejak sekian lama hubungan PAS dan Umno sentiasa tegang sehinggalah menjelang PRU ke-14 pada tahun lalu.

Bersama Umno, PAS

Hubungan berkenaan menjadi lebih akrab dan terbuka selepas PH menawan Putrajaya dan sebahagian besar kerajaan negeri. Ketika ini hubungan baik itu semakin hampir dimeterai secara rasmi selepas kedua-dua pihak mengusahakan piagam bersama mengenainya.

Bagaimanapun beberapa pihak berpendapat hubungan itu berisiko terjejas apabila kedua-dua pihak membincangkan isu pembahagian kerusi. Lazimnya PAS dan Umno bertembung di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Tambah Nik Zawawi, sikap terbuka yang sama turut ditunjukkan PAS terhadap Umno.

“Sekiranya kita lihat dari sudut strategiknya, kalau Umno bertanding, lebih mudah untuk mencapai kemenangan, tak menjadi masalah kepada kita (PAS) untuk kita bagi kepada rakan kita Umno.

“Itu keterbukaanlah. Setakat ini kita sangat terbuka dalam isu pengagihan kerusi,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, tambah anggota parlimen Pasir Puteh itu, selepas PRU ke-14, pilihan rakyat terutamanya anak muda mula beralih kepada Umno dan PAS.

“Selepas kemenangan ini, kita lihat sokongan rakyat merudum bagi PH. Ini realiti, bukan saya cakap kerana saya PAS.

“Anak-anak muda telah pun meninggalkan PH dan mereka bersama-sama PAS dan Umno,” katanya lagi.

N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Alyaa Alhadjri dan Lu Wei Hoong menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Komen
ADS