Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azmin: Saya ingat kita percaya kebebasan bersuara?
Diterbitkan:  Jun 20, 2019 11:28 PM
Dikemaskini: 3:29 PM

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali mempersoalkan mengapa seolah-olah terdapat amalan dwistandard selepas lembaga disiplin parti itu memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap ahli yang membuat tuduhan "tidak berasas" terhadap kepimpinan PKR.

Ini berikutan penyebaran beberapa siri video seks yang disifatkan menteri hal ehwal ekonomi itu sebagai komplot jahat untuk memusnahkan karier politiknya.

"Saya ingat kita percaya kepada demokrasi, kebebasan bersuara. Mengapa ia dilakukan macam double standard?

"Kita perlu membenarkan keseluruhan proses untuk mengambil tempat dalam parti, dalam kerajaan - tetapi sudah tentu kita tidak akan membiarkan politik kotor dan fitnah ini.

"Kamu mahu menyatakan kebimbangan kamu, kamu bebas untuk berbuat demikian tetapi ia mesti berdasarkan fakta," kata beliau kepada wartawan di Sri Kembangan malam ini.

Azmin berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Lembaga Disiplin PKR yang meminta ahlinya menyuarakan pandangan mereka melalui saluran yang betul.

Semalam, Lembaga Disiplin PKR mengumumkan akan mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap Ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Ini selepas Haziq mengaku merupakan salah seorang daripada dua lelaki dalam video seks yang dikaitkan dengan Azmin.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PKR, Ahmad Kassim berkata pihaknya turut mengambil maklum penafian Azmin dan akan meneliti penjelasan sekiranya ada.

Ahmad juga memberi "amaran keras" kepada semua ahli PKR supaya tidak membuat kenyataan tanpa asas dan fakta kepada pimpinan parti itu.

Amaran itu dibuat ketika terdapat usaha mengaitkan penyebaran video berkenaan dengan Anwar, yang kini dikatakan semakin tidak sehaluan dengan Azmin.

Azmin berkata, beliau terharu dengan sokongan yang diterima dan menyifatkan ia merupakan petanda bahawa rakyat menolak politik kotor.

"Ini satu perkembangan yang cukup positif yang berikan saya kekuatan untuk teruskan perjuangan ini dan saya melihat perkembangan ini pentanda baik bahawa rakyat Malaysia menolak gutter politics," katanya.

Lihat Komen
ADS