Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Trump: Iran buat silap besar tembak dron tentera AS

GLOBAL | Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis menyifatkan tindakan Iran menembak jatuh sebuah dron milik AS sebagai satu "kesilapan besar", lapor agensi berita China Xinhua.

Tentera AS berkata sebuah pesawat tanpa pemandu RQ-4A Global Hawk telah ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara Iran semasa beroperasi di ruang udara antarabangsa pada Rabu.

Iran bagaimanapun mendakwa bahawa dron yang ditembak jatuh di bahagian selatan negara itu telah melepasi sempadan Iran.

"Iran telah melakukan satu kesilapan yang amat teruk," kata Trump kepada pemberita di Pejabat Oval sambil menambah bahawa dron AS telah ditembak jatuh oleh seseorang yang "sewel dan bodoh."

Beliau berkata dron itu terbang di perairan antarabangsa, bukti yang telah "didokumentasikan secara saintifik."

Trump menafikan spekulasi bahawa para pembantunya telah mendesak beliau untuk berperang, tetapi pada masa yang sama menjelaskan kepada pemberita bahawa tindakan menembak jatuh dron itu adalah satu kekusutan baru" dan AS tidak akan bertolak ansur.

Hossein Salami, ketua komander Kor Pengawal Revolusi Islam Iran, berkata tindakan menembak jatuh dron AS itu merupakan mesej yang jelas bahawa Iran akan mempertahan kedaulatannya.

Beliau berkata Iran tidak ingin berperang dengan mana-mana negara, tetapi ia bersedia sepenuhnya untuk menghadapi sebarang serangan atau pencerobohan.

Insiden ini terus memarakkan ketegangan antara Washington dan Tehran susulan serangan ke atas dua kapal tangki minyak di Teluk Oman minggu lepas selain ancaman Iran untuk tidak mematuhi perjanjian nuklear 2015.

Meskipun pentadbiran Trump mahupun kerajaan Iran berulang kali mendakwa bahawa mereka tidak ingin mewujudkan konflik, penganalisis tetap bimbang bahawa insiden yang tidak diingini serta salah perhitungan antara Washington dan Tehran mungkin pada akhirnya mencetuskan satu konflik ketenteraan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS