Penceramah kontroversi Zakir Naik sekali lagi menegaskan dia sedia kembali ke India jika terdapat jaminan tidak ditangkap atau dipenjarakan.

“Biar saya ulang tawaran sebelum ini.

“Jika Mahkamah Agung India secara bertulis sebut saya tidak akan ditangkap dan dipenjarakan sehingga disabitkan, saya akan balik ke India, dan saya akan hadir ke mahkamah,” katanya kepada The Sun.

Zakir berkata demikian ketika mengulas arahan supaya dia tampil untuk berdepan pertuduhan kes pengubahan wang haram mahkamah di Mumbai pada 31 Julai.

Mahkamah memberi amaran mengeluarkan waran tangkap yang tidak boleh dijamin dia jika gagal hadir.

Zakir berkata pertuduhan terhadapnya sebagai palsu.

Kerajaan India dilaporkan sudah membuat permohonan rasmi kepada Malaysia untuk menghantar pulang Zakir ke negara asal.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun menyuarakan kebimbangan sama ada Zakir akan mendapat perbicaraan adil.

Menteri dalam Negeri Muhyiddin Yassin pula berkata tiada permohonan ekstradisi diterima oleh kementeriannya dan Kementerian Luar Negara.