Paling Popular
Terkini

Bekas exco kanan Selangor, Iskandar Abdul Samad, menarik tidak menyertai saingan merebut tempat nombor tiga dalam barisan kepemimpinan tertinggi PAS selepas mendapati ada calon lain yang berprofil tinggi.

Ditemui media selepas muktamar PAS ditangguhkan petang ini, Iskandar berkata, tidak ada apa-apa alasan khusus untuk beliau enggan mempertahankan jawatannya sebagai naib presiden.

Katanya orang yang sesuai untuk menduduki jawatan naib presiden sepatutnya berprofil tinggi dan beliau berpendapat Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menepati ciri berkenaan.

"Sebagai MB Terengganu saya rasa dia calon yang high profile.

"Kita (PAS) dah ada seorang timbalan menteri besar iaitu Mohd Amar, ada juga Ustaz Idris iaitu yang orang lama," katanya.

Ditanya bila beliau membuat keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut, Iskandar yang memiliki latar belakang sebagai seorang arkitek berkata, keputusan itu memang dirahsiakan.

Katanya semuma calon diberi tempoh sehingga 24 Mei untuk mengesahkan menerima pencalonan daripada kawasan-kawasan.


Baca Iskandar digugurkan dari kerusi pesuruhjaya S'gor


Katanya selain dicalonkan mempertahankan jawatan naib presiden, beliau juga mendapat pencalonan bagi mengisi salah satu tempat dalam jawatankuasa pusat PAS.

"Saya cuma jawab untuk bertanding sebagai AJK pusat," katanya.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, beliau sebelum ini ada mendengar ura-ura yang mengatakan Iskandar akan menolak pencalonan namun membiarkan hal itu tanpa membuat sebarang pertanyaan.

"Cuma seperti biasa, takkan kita nak bertanya (minta beliau) mengesahkan. Jadi saya biar sajalah proses itu berlaku hingga akhir," katanya.

Diminta reaksinya mengenai jawatan barunya, bekas setiausaha politik Abdul Hadi Awang itu menegaskan banyak perkara perlu dipelajari terutamanya melalui bantuan dan bimbingan rakan-rakan sesama parti.

"Ia tugas amat berat dan saya akan terus belajar daripada senior dalam parti sama ada yang pernah menjawat jawatan dan belum, mereka semua banyak penaglaman.

"Pada saya, saya perlu dibantu dan dibimbing untuk menjalankan tugas yang diamanahkan," katanya.


N Faizal Ghazali, Fakhrull Halim, Alyaa Alhadjri dan Lu Wei Hoong menyumbang untuk laporan ini.

Lihat Komen
ADS