Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aktivis tolak tanggapan Orang Asli kurang kesedaran vaksin

Aktivis Orang Asli menafikan tanggapan yang melihat kesedaran vaksin di kalangan Orang Asli lemah.

Sebaliknya, menurut Pengerusi Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ) Dolah Tekoi, Orang Asli kini sedar akan kepentingan vaksin dan berusaha untuk mendapatkan suntikan tersebut.

“Selama ini memang pihak Orang Asli yang datang ke klinik untuk suntikan vaksin dan bukannya klinik yang ke perkampungan.

“Kesedaran lemah itu mungkin ada tetapi bukan 100 peratus,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dolah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy sebelum ini.

Tambah Dolah, pihak kerajaan harus memberi perhatian kepada suku kaum Orang Asli tertentu yang kurang pendedahan atas kesedaran vaksin tersebut.

“Bagi suku tertentu seperti suku Bateq, Kensiu dan Jahai, pihak kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan harus wujudkan Pasukan Khas.

“Bagi mereka (Pasukan Khas) datang ke kawasan rumah Orang Asli itu dan beri suntikan tersebut,” katanya.

Dolah Tekoi.

Pada 18 Jun lalu, Waythamoorthy berkata antara punca kurang kesedaran vaksin terhadap Orang Asli adalah kerana kurang ilmu pengetahuan serta cara hidup mereka yang kerap berpindah-randah.

Bagaimanapun ketua pasukan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) yang merawat Orang Asli sejak tahun 2010 menjelaskan sebarang cubaan untuk mengaitkan kesedaran vaksin dengan cara hidup masyarakat berkenaan tidak adil.

Vaksin adalah kombinasi tiga dalam satu dari antigen daripada campak (measles), betuk (mumps) serta rubella dan diberi sebagai satu suntikan.

Tak harus salahkan Orang Asli

Sementara itu, Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOAM) Tijah Yok Chopil turut meluahkan pendapat sama dengan Dolah.

Kata Tijah, Kementerian tidak harus terus menyalahkan Orang Asli namun perlu mencari jalan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Bagi saya, Kementerian tidak boleh salahkan mereka (Orang Asli) saja, jika nampak masalah turun padang.

“Macam mana hendak didik orang kampung kalau kamu (kerajaan) sendiri tidak turun ke sana,” katanya.

Kata Tijah, kerajaan juga harus merangka penyelesaian jangka panjang dan bukan hanya membantu ketika Orang Asli mempunyai masalah.

“Kerajaan kena cari penyelesaian panjang bukan jangka masa pendek, kemudahan air dan elektrik semua harus disegerakan.

“Kalau kamu (kerajaan) bagi rawatan sekarang, selepas itu, bila mereka (Orang Asli) masuk kampung nanti kemudahan air kemudahan elektrik masih di masalah sama,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga perlu bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan lebih kerap bagi membantu menyelesaikan isu yang membabitkan Orang Asli.

“Kalau kerajaan tidak mampu untuk selesaikan masalah, rendahkan diri, minta sokongan dari NGO.

“Ramai juga sukarelawan yang ingin bantu, kerja bersama mereka. Jangan ego,” katanya.

Terdahulu, penduduk Orang Asli suku kaum Bateq di Kuala Koh mendapat perhatian media setelah dilaporkan mengalami simptom jangkitan saluran pernafasan akibat pencemaran udara.

Pada 17 Jun lalu, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata 37 daripada 112 pesakit kaum tersebut didapati dijangkiti wabak demam campak yang disahkan melalui ujian makmal.

Lihat Komen
ADS