Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM mohon lucut RM269,662 dari Naza Group
Diterbitkan:  Jun 21, 2019 9:21 PM
Dikemaskini: 1:41 PM

Dua syarikat tempatan - Naza Group dan Habib Jewels - berikrar untuk memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memfailkan saman sivil pelucutan terhadap 41 syarikat dan individu.

Dalam kenyataan media hari ini, Naza Group berkata pihaknya sudah menerima notis yang memaklumkan SPRM memfailkan permohonan melucutkan wang bernilai RM269,662 daripada Naza Quest Sdn Bhd.

Syarikat itu berkata, ia berhubung pembelian empat kereta jenama Chevrolet.

Naza Group merupakan pengedar General Motors dari AS yang merupakan pengeluar kereta jenama Chevrolet. Syarikat itu melepaskan hak pengedaran Nov lalu.

Saman terhadap Naza adalah sebahagian daripada usaha SPRM untuk mendapatkan semula RM270 juta yang didakwa berasal dari akaun bank yang dipegang bekas perdana menteri Najib Razak.

SPRM sebelum ini menyiasat akan bank berkenaan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Sementara itu, Habib Jewels yang merupakan satu lagi syarikat yang disenaraikan SPRM berkata semua transaksi syarikat mereka yang disiasat dilakukan dengan telus dan mempunyai rekod.

"Kami mahu nyatakan bahawa kami tidak menerima sebarang notis formal berhubung perkara ini.

"Kami juga ingin mengesahkan bahawa kami akan memberi kerjasama kepada semua pihak berkuasa berkaitan berhubung perkara ini," kata Habib Jewels dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Star Online melaporkan bahawa Pengerusi Umno Sabah Bung Mokhtar Radin menyerahkan saman pelucutan sivil SPRM terhadapnya kepada peguamnya.

Pemimpin parti politik Sabah yang dinamakan SPRM, iaitu Parti Bersatu Rakyat Sabah dan Parti Demokratik Liberal (LDP), berkata mereka belum menerima sebarang notis daripada agensi antirasuah itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS