Parti-parti politik memberi reaksi yang berbeza terhadap cadangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk melarang penggunaan poster dalam pilihanraya umum akan datang.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman berkata pihaknya sedang menimbang larangan itu bagi mengelak pembaziran wang dan berlakunya kekotoran.

Cadangan SPR itu dinyatakan oleh Abdul Rashid ketika menghadiri majlis makan malam meraikan petugas SPR bagi pilihanraya kecil Pengkalan Pasir di Pasir Mas pada malam Isnin lalu.

DAP menganggap cadangan itu sebagai mengarut dan tidak boleh dipercayai.

Ahli Jawatankuasa Pusatnya, Ronnie Liu berkata, berdasarkan pengalaman lalu cadangan SPR untuk menjadikan pilihanraya di negara ini lebih adil dan saksama tidak pernah menjadi kenyataan.

Sebagai contoh, katanya, dalam pilihanraya umum lalu SPR memaklumkan, semua parti politik yang bertanding tidak dibenarkan menggunakan pondok panas di depan pusat pembuangan undi atas alasan keselamatan.

"Ini yang diberitahu dalam taklimat SPR beberapa bulan sebelum pilihanraya umum 2004. Tetapi akhirnya semua parti komponen Barisan Nasional (BN) membina pondok panas di kawasan pusat mengundi sedangkan pembangkang mematuhi larangan yang dikenakan.

"Apabila ditanya mengenai perkara itu, SPR memberitahu, BN membina pondok panas kerana mereka baru tahu mengenai perkara tersebut," katanya.

Sementara itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyambut baik cadangan SPR itu tetapi mahu ia digantikan dengan memberi parti pembangkang tempat dalam media massa tempatan.

Penolong Setiausaha Agung PKR, Ang Hiok Gai pula berkata, jika SPR melaksanakan cadangan tersebut, bermakna ruang demokrasi dan berkempen untuk pembangkang di negara ini semakin sempit.

"Pembangkang dinafikan hak untuk muncul dalam televisyen, radio dan media cetak utama, malah akhbar milik parti juga disekat.

"Kini kempen menerusi poster juga mahu disekat, apa lagi alternatif yang kita ada?" soalnya.

Untuk itu, katanya, SPR perlu memastikan semua parti politik mendapat peluang yang adil dalam kempen pilihanraya, termasuk diberi pelung muncul di media cetak dan eletronik.

Ahli Dewan Negara, Nordiana Shafie juga tidak bersetuju dengan cadangan SPR itu.

Menurutnya, penggunaan poster sangat penting kerana ia menjadi medium untuk memperkenalkan calon kepada pengundi di kawasan yang ditandingi.

Katanya, tidak mungkin bagi seorang calon untuk melawat keseluruhan kawasan sepanjang tempoh berkempen.

Oleh itu, katanya, poster diperlukan untuk memperkenalkan calon kepada pengundi di kawasan terbabit.

"Ketiadaan poster juga boleh mengurangkan kemeriahan kempen pilihanraya," kata beliau ang juga Ketua Puteri Umno Terengganu.