Malaysiakini BERITA

Khalil Hadi dapat undi tertinggi AJK Pusat PAS

Wartawan Malaysiakini

Diterbitkan  |  Dikemaskini

MUKTAMAR PAS | Anak Presiden PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, hari ini diumum mendapat undi tertinggi dalam pemilihan jawatankuasa pusat parti itu yang berlangsung semalam.

Muhammad Khalil yang juga Adun Batu Buruk mendapat 965 undi meninggalkan Exco Terengganu yang juga Adun Jabi Dr Azman Ibrahim yang berada di tempat kedua dengan 947 undi.

Sementara itu anak bekas mursyidul am PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, yang mendapat undi paling banyak dalam pemilihan pada 2017 diletakkan pada kedudukan kesembilan dengan mendapat 781 undi.

Beliau memperoleh undi yang sama dengan Anggota Parlimen Kuala Nerus, Khairuddin Aman Razali.

Kedua-dua mereka menjadi perhatian ramai baru-baru ini apabila nama masing-masing dikaitkan dengan kumpulan kartel dedak oleh menantu Abdul Hadi, Zaharudin Muhammad.

Keputusan itu diumum Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PAS, Dr Mohd Fuad Salleh di Kuantan, hari ini.

Beberapa nama besar seperti Pesuruhjaya PAS Perak merangkap Bendahari PAS Pusat, Razman Zakaria, pula gagal mendapat tempat dalam barisan utama parti itu. Razman yang juga Adun Gunung Semanggol memperoleh 581 undi.

Turut tercicir ialah wakil tunggal PAS dalam DUN Pulau Pinang, Yusni Mat Piah, yang meraih sokongan kurang daripada 400 undi.

Yusni ialah Adun Penaga yang memenangi kerusi itu dengan mengalahkan calon BN, Mohd Zain Ahmad, dengan kelebihan 1,662 undi.

Bekas exco kanan Selangor dalam kerajaan Pakatan Rakyat, Iskandar A Samad, menjadi salah seorang pemimpin yang dipilih oleh 1,136 daripada 1,230 perwakilan yang layak mengundi pada kali ini.

Beliau tidak mempertahankan jawatannya sebagai naib presiden bagi memberi laluan kepada Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Berikut ialah senarai pemenang dan undi masing-masing dalam pemilihan AJK Pusat PAS untuk sesi 2019 hingga 2021:

1. Muhammad Khalil (956)

2. Dr Azman Ibrahim (947)

3. Dr Halimah Ali (943)

4. Mohamed Fadzli Hassan (860)

5. Riduan Md Nor (858)

6. Iskandar Abdul Samad (856)

7. Mohd Nassuruddin Daud (855)

8. Dr Mohd Zuhdi Marsuki (843)

9. Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (781)

10. Dr Khairuddin Aman Razali (781)

11. Najihatussalehah Ahmad (758)

12. Kamarulzaman Mohamad (747)

13. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurrazi (726)

14. Nasrudin Hassan (714)

15. Siti Zailah Mohd Yusoff (682)

16. Moktar Senik (679)

17. Misbahul Munir (670)

18. Sallehen Mukhyi (645)

Sementara itu, pada pemilihan AJK Pusat PAS kali ini seramai 29 orang bersetuju dicalonkan untuk mengisi 18 tempat yang ada.

Tiada pertandingan berlangsung untuk jawatan presiden, timbalan presiden dan naib presiden. 

Abdul Hadi Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man masing-masing mempertahankan jawatan presiden dan timbalan apabila tiada nama lain dicalonkan.

Bagi jawatan naib presiden, Ahmad Samsuri muncul sebagai muka baru melengkapkan tiga tempat yang diperuntukkan bersama Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah dan bekas anggota parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad.


N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Lu Wei Hoong, Mastura Malak dan Alyaa Alhadjri menyumbang kepada laporan ini.