Paling Popular
Terkini

MUKTAMAR PAS | Atas alasan "demi Islam" PAS tidak keberatan dilontar dengan panggilan sinis seperti walaun oleh sesetengah pihak asalkan mereka tidak menggadaikan prinsip dan pendirian parti, kata naib presidennya, Idris Ahmad.

“Biarlah orang kata kita ni golongan walaun.

"Ada orang tanya saya: ustaz, (kenapa) orang PAS ni walaun semua ni?

“Saya jawab, tak apalah kami walaun. Jangan jadi malaun sudah,” katanya.

Idris berkata demikian di penghujung ucapan penggulungannya di sesi akhir Muktamar PAS ke-65 di Dewan Tertutup Sukpa, Bandar Indera Mahkota, Kuantan hari ini.

Selepas ucapannya itu, dewan bergema dengan tiga kali laungan takbir dan dianggap antara yang paling kuat didengar sepanjang hari terakhir muktamar kali ini.

Walaun merupakan istilah yang dikamil daripada perkataan walak yang sinonim dengan PAS.

Walak membawa maksud taat setia adalah antara elemen paling penting ditekankan dalam tarbiah PAS dan sering disebut-sebut pimpinan kepada anggota parti itu.

Kami tarik hand break

Dalam ucapannya, Idris juga meminta anggota PAS meyakini kepemimpinan parti - yang menurutnya - tidak akan sesekali mengkhianati amanah yang diberikan kepada mereka.

Terutamanya, kata Idris, dalam isu taawun dan tahaluf dengan Umno yang sukar diterima oleh anggota pada mulanya, anggota parti perlulah sanggup berkorban perasaan.

“Bukan senang tuan-tuan, kita nak bersama-sama, nak boleh terima Umno. Bukan senang, saya akur.

“Dari kecil kita berlawan... waktu sekolah, waktu universiti, waktu bekerja, tiba-tiba boleh duduk sepentas dengan dia.

"Kita kena korban perasaan kita. Kita boleh korbankan lembu 10 ekor di markas, (tapi) belum tentu kita boleh korban perasaan kita.

"Sebab itu belajarlah korbankan perasaan untuk menerima segala gerak kerja, keputusan yang diputuskan jemaah,” katanya.

Selain itu, Idris turut mengimbau bagaimana PAS rela berundur daripada rundingan berpakatan dengan Bersatu semata-mata kerana prinsip yang dipegangnya untuk tidak bersama DAP.

Katanya sebelum PRU-14, beliau bersama beberapa pemimpin PAS pernah berbincangan dengan beberapa wakil Bersatu mengenai pembentukan gabungan politik menghadapi BN.

“Mereka kata apa? Kalau nak tolak DAP, kita tak boleh menang. [...] Kami minta maaf, kalau nak bersama juga (dengan DAP), kami tarik hand break.

“Kalau kami nak fikir soal pangkat, kemenangan, lebih baik kita bersama Umno waktu Umno menang dulu, [...] waktu Umno untung, waktu mereka ada kuasa,” katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS