Shamsul kecam gesaan tetap masa Dr M serah kuasa pada Anwar
Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata sudah terlalu banyak wawancara dan artikel mengenai peralihan kuasa kepimpinan negara daripada Dr Mahathir Mohamad yang berjanji menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim.
"Saya rasa 'penat' mengenai laporan berterusan daripada pihak media terhadap isu ini.
"Semua pihak dalam gabungan pemerintah telah bersetuju dengan peralihan kuasa dan (PH) menang pilihan raya antara lainnya atas platform ini," kata Shamsul dalam suatu kenyataan hari ini.
Anggota parlimen Hang Tuah Jaya memberi amaran permainan politik yang berterusan dan persoalan yang tidak menentu mengenai peralihan kepimpinan hanya akan menjejaskan kerajaan dan menimbulkan kebangkitan politik golongan pelampau.
"Oleh kerana pakatan pemerintah memasuki tahun kedua sebagai sebuah kerajaan, semua parti sekarang perlu memfokuskan tenaga mereka dan menggerakkan segala usaha untuk melaksanakan janji mereka dan menetapkan dasar konkrit bagi mencapai kemakmuran bersama untuk semua.
"Dalam menghadapi cabaran dari politik identiti yang melampau, hanya penambahbaikan yang berterusan terhadap kesejahteraan semua rakyat Malaysia dan peningkatan ekonomi secara keseluruhan sahaja yang dapat memastikan kelangsungan politik demokratik.
"Perdana menteri juga mengulangi komitmennya untuk memegang janjinya. Oleh itu, jangan ragu-ragu bahawa peralihan akan berlaku dalam masa yang ditetapkan dan dalam keadaan tertib," katanya.

