Nama pesuruhjaya baru Suhakam telah diserah pada PM
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata nama yang dicadangkan bagi jawatan pesuruhjaya baru Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) telah dikemukakan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad minggu lalu.
Beliau berkata kini terpulang kepada perdana menteri untuk mengumumkan perkara itu.
"Pelantikan ini telah dilakukan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas dalam Suhakam.
"Senarai nama dan semuanya telah diberikan kepada Perdana Menteri untuk beliau membuat pengumuman, jadi saya berharap boleh dilakukan secepat mungkin,"katanya kepada pemberita hari ini selepas menyampaikan ucaptama di dialog peringkat tertinggi negara mengenai Forum Perniagaan dan Hak Asasi Manusia di Putrajaya hari ini.
Kerusi pesuruhjaya Suhakam kosong sejak 25 April lepas apabila pengerusinya Razali Ismail meletak jawatan dua minggu sebelum tempoh perkhidmatannya berakhir.
Terdahulu, dalam ucapan dasarnya, Liew mengumumkan kabinetbersetuju untuk meletakkan isu hak asasi manusia di bawah portfolio beliau dalam mesyuarat kabinet Rabu lepas.
Ini juga akan menyaksikan Suhakam diletakkan bawah kementerian beliau.
Beliau berkata sebelum ini, tidak ada badan kerajaan tertentu ditugaskan untuk mengawalselia hak asasi manusia dalam sektor korporat.
"Institusi kerajaan sedia ada ditugaskan untuk mentadbir isu-isu tertentu seperti anti-rasuah, anti-pemerdagangan manusia, tadbir urus yang baik dan integriti dan sebagainya tanpa mandat lebih meluas untuk mengawal selia tanggungjawab syarikat agar menghormati hak asasi manusia," jelasnya.
Beliau berharap dengan perkembangan ini akan menjurus ke arah yang lebih positif dalam tadbir urus hak asasi manusia di Malaysia.

