Polis tahan 2 lelaki, rampas heroin base RM1.2j
Polis menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dan merampas dadah heroin base bernilai kira-kira RM1.2 juta dalam serbuan di Jalan Dutamas Solaris di Kuala Lumpur, Khamis lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata kedua-dua lelaki masing-masing berusia 31 dan 37 tahun itu dipercayai penghantar bekalan dadah untuk sindiket terbabit dan mendapat dadah itu di sempadan Kelantan-Thailand melalui Sungai Golok.
Serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur itu turut merampas sebuah kereta jenis Honda Accord dan wang tunai RM950, katanya pada sidang akhbar di ibu negara hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati upah yang diperoleh untuk membawa dadah itu ialah RM10,000 seorang dan kedua-dua lelaki terbabit aktif dalam kegiatan itu di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lepas.
"Dadah itu boleh diedar kepada 130,000 penagih dengan harga RM50 setiap satu gram selepas diproses," katanya.
Beliau berkata kedua-dua lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah dan ujian air kencing mendapati seorang daripada mereka positif dadah.
Kedua-dua lelaki terbabit direman tujuh hari bermula 21 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan, katanya.
- Bernama

