Empat remaja bergaduh didenda RM1,000
Empat remaja lelaki masing-masing didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah terlibat dalam pergaduhan di perkarangan sebuah restoran makanan segera di Kuantan, minggu lalu.
Majistret Nor Izzati Zakaria juga memerintahkan semua tertuduh menjalani hukuman penjara selama empat bulan, jika gagal menjelaskan denda tersebut.
Mereka ialah Muhammad Syamil Muhaimin Ahmad Rizal, 20; Muhammad Haziq Aiman Zamani, 20; Afif Shuhairi, 20; dan Muhammad Luqman Hakim Aminullah, 19.
Semua tertuduh yang berasal dari Kuantan dan Pekan didakwa terlibat dalam pergaduhan di hadapan restoran McDonalds di Sungai Isap di Kuantan, pada 1 pagi 19 Jun lalu.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, Afif dan Muhammad Luqman Hakim merayu hukuman mereka diringankan kerana masih belajar manakala dua lagi tertuduh memberitahu bekerja di Pelabuhan Kuantan dengan gaji sekitar RM1,300 sebulan.
Berdasarkan fakta kes, pergaduhan berlaku apabila seorang tertuduh menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa bapa saudara kepada bekas tunangnya dan mengajak untuk berjumpa.
Pergaduhan itu dileraikan oleh orang awam.
Video pergaduhan itu juga tular di laman media sosial pada minggu lalu.
Pada prosiding sama, Nor Izzati membenarkan seorang lagi tertuduh Ahmad Tarmizi Othman, 19, yang mengaku tidak bersalah dibebaskan dengan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin sementara menanti sebutan semula pada 11 Julai ini.
Ahmad Tarmizi yang tidak bekerja dan berasal dari Sungai Isap di sini, diwakili peguam Mohd Saifuldin Ab Rahman.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ker Qi En.
- Bernama

