'Anda puncanya' - PSM gesa bank selesaikan pertikaian rumah
Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa sebuah bank berkaitan kerajaan menyelesaikan pertikaian berkenaan rumah dengan keluarga P Balan, yang meninggal dunai 27 Mei lalu.
Anggota Jawatankuasa Pusat PSM S Arutchelvan berkata, bank itu melelong rumah Balan pada 2016 walaupun sedar mendiang mengalami kemalangan dan koma selama sembilan bulan ketika itu.
"Balan membayar pinjaman perumahan tanpa tangguh sehinggalah dia mengalami kemalangan industri (kemalangan di tempat kerja) pada Jun 2015 dan lumpuh dari bahagian pinggang ke bawah.
"Ketika dia dalam koma dan terlantar di hospital selama sembilan bulan, (bank) yang tahu dengan keadaannya itu melelong satu-satunya rumah miliknya, walaupun tuntutan insurans di bawah Jaminan Pengurangan Terma Gadai Janji (Mortgage Reducing Term Assurance, MRTA) belum selesai," kata Arutchelvan dalam kenyataan hari ini.
Arutchelvan berkata pemilik baru rumah itu - yang menang bidaan pada harga RM150,000 - kini cuba mengusir keluarga mendiang menerusi mahkamah.
"Sementara kedua-dua pemilik baru dan Balan mendakwa pihaknya sebagai mangsa, PSM berpandangan (keluarga) Balan sebagai pihak paling teraniaya (aggrieved) dan berdasarkan keadilan, keluarganyalah yang perlu dilindungi.
"Kegagalan menyelamatkan rumah Balan akan menyebabkan dua adik perempuannya - kedua-duanya balu - dalam kepayahan dan empat anak mereka tiada tempat tinggal.

"Sebelum ini Balan satu-satunya yang menyara keluarga," katanya lagi.
Peguam S Kartigesan, yang mewakili keluarga Balan secara percuma dalam kes ini, menyifatkan keadaan ini sebagai "pembulian korporat", kata Arutchelvan.
Kata Arutchelvan lagi, bank perlu melihat perkara ini sebagai tanggungjawab sosial dan membayar pemilik baru, serta mengendalikan insurans MRTA untuk keluarga mendiang.
"(Bank) tidak akan bankrap kalau selesaikan isu ini. Masalah ini dicetuskan pihaknya dan wajarlah jika mereka yang menyelesaikannya.
"Kerajaan Pakatan Harapan yang komited dengan keadilan perlu menjamin syarikat berkaitan kerajaan tidak bertindak semata-mata demi keuntungan," katanya lagi.
Beliau memaklumkan Mahkamah Tinggi Seremban hari ini memberikan masa tiga bulan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam kes ini untuk cuba mencapai persetujuan.
Pendengaran seterusnya dijadual pada 24 September ini.

