MIC menyokong saranan Pemuda PAS agar bahasa Tamil diwajibkan dipelajari di sekolah-sekolah kebangsaan.

Ketua Penerangan MIC V Gunalan berkata, pada masa sama parti itu menentang gesaan memansuhkan sistem pendidikan vernakular di Malaysia.

"Kami menyambut baik sebarang cadangan untuk wajibkan mata pelajaran bahasa Tamil di sekolah kebangsaan.

"Jika hanya dijadikan mata pelajaran pilihan pun kami alu-alukan," katanya ketika sidang media di ibu pejabat MIC di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam Muktamar PAS yang baru selesai, ketua pemudanya yang baru Khairil Nizam Khirudin mencadangkan agar mata pelajaran pendidikan Jawi dikembalikan dan bahsa Mandarin dan Tamil dijadikan mata pelajaran wajib.

Beliau berkata cadangan itu memandangkan penguasaan bahasa ialah antara faktor untuk integrasi di peringkat nasional.

Ia sehari selepas gesaan Naib Ketua Muslimat PAS Salamiah Md Nor agar sekolah vernakular dimansuhkan, antaranya kerana tidak mahu bahasa Mandarin menjadi bahasa kedua di negara ini.

Gunalan bagaimanapun berkata kenyataan itu hanyalah pandangan peribadi Salamiah dan bukan dasar PAS.

"(Ia) Tidak mewakili dasar parti PAS, maka kami percaya isu ini sengaja diperbesarkan oleh DAP yang mengkritik MIC sebagai tidak berani bersuara menentang PAS.

"Pemimpin MIC hanya hadir majlis perasmian muktamar dan tiada dalam dewan ketika perbahasan. Jadi tuduhan pemimpin DAP bahawa MIC berdiam ketika Salamiah berucap tak berasas...Nampaknya pemimpin DAP kurang cerdik, tak tahu beza antara majlis perasmian dengan sesi perbahasan," katanya lagi.