Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jambatan angkat dijangka dibuka Ogos ini- Exco T’ganu

Jambatan angkat atau ‘drawbridge’ di Kuala Terengganu dijangka mula dibuka kepada orang ramai pada 1 Ogos ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu, Dr Mamad Puteh.

Beliau berkata pada masa ini, beberapa penambahbaikan sedang dilakukan untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta kelancaran trafik berada di tahap terbaik apabila dibuka kelak.

"Antara penambahbaikan keselamatan dibuat ialah meninggikan palang penghadang tempat duduk orang ramai di kawasan rehat dan kawasan khas untuk mereka memberhentikan kenderaan bagi memudahkan merakam video dan gambar jambatan ikonik Terengganu itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau perkembangan terbaru proses penambahbaikan jambatan itu bersama agensi terlibat seperti Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Jabatan Kerja Raya, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Mengulas lanjut, Mamad berkata kerajaan negeri juga mengambil serius risiko hakisan yang mungkin berlaku di sepanjang satu kilometer laluan masuk ke jambatan angkat itu berhampiran pantai di Seberang Takir hingga ke Teluk Ketapang.

"Sehubungan itu, pembinaan struktur penahan ombak akan dilakukan segera dengan kemasukan tender pada 1 Julai ini.

"Bagi penambahbaikan fasa kedua pula, ada cadangan untuk membina jalan empat lorong dari bulatan Seberang Takir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, namun ia mengambil masa kerana melibatkan pengambilan balik tanah milik penduduk," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata pihaknya mengambil berat semua maklum balas pengguna sepanjang tempoh percubaan jambatan itu dibuka kepada orang ramai selama dua minggu bermula 2 Jun lepas.

"Semua aduan dan cadangan ini diteliti secara terperinci oleh agensi yang bertanggungjawab. Kerajaan negeri juga merancang mewujudkan suasana lebih indah sekitar jambatan ini agar ia menjadi destinasi pilihan pelancong apabila berkunjung ke Terengganu," katanya.

Jambatan itu akan diserah kepada kerajaan Terengganu melalui anak syarikatnya, TI Properties Sdn Bhd untuk semua urusan berkaitan pentadbiran dan penyelenggaraan.

Jambatan angkat pertama di Asia Tenggara sepanjang 638 meter yang mempunyai dua menara setinggi 16 tingkat itu bernilai RM248 juta dan menjadi jambatan keempat menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berbanding tiga ketika ini, melibatkan Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati.

- Bernama

Lihat Komen
ADS