Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Seorang inspektor, 4 anggota polis direman kes suapan RM6,000

Seorang inspektor dan empat anggota polis direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kesalahan meminta dan menerima wang suapan berjumlah kira-kira RM6,000 membabitkan kes air ketum, Mac lepas.

Tempoh reman sehingga 29 Jun ini terhadap kesemua suspek berusia antara 25 hingga 50 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh hari ini.

Kelima-lima suspek yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin itu ditahan selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Alai, Jasin dekat sini, antara 5 petang dan 11 malam, semalam.

Penahanan reman itu dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, kelima-lima suspek termasuk dua konstabel dan dua koperal yang memakai baju T dan berseluar jean itu, tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 11.15 pagi diiringi pegawai dan anggota SPRM.

Difahamkan suapan bernilai kira-kira RM6,000 itu diambil sebagai dorongan untuk tidak dikenakan tindakan atas kesalahan memiliki air ketum daripada seorang lelaki berusia 30-an pada Mac lepas.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan perintah reman ke atas kelima-lima suspek terbabit.

- Bernama

Lihat Komen
ADS