Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Budak-budak pun baca, Adun PKR kesal wawancara Haziq

Adun PKR, Dr Afif Bahardin menyatakan rasa kesal terhadap liputan media mengenai skandal seks yang didakwa melibatkan timbalan presiden parti itu, Azmin Ali.

Katanya, keadaan itu lebih buruk apabila kanak-kanak terdedah dengan  berita berkenaan setiap hari, malah akhbar-akhbar yang melaporkannya turut diedarkan ke sekolah-sekolah.

"Baru-baru ini saya menonton TV dengan anak-anak, politik kotor ini ada di semua saluran TV. Buat kali pertama, saya rasa rasa berita ini tidak sesuai untuk anak-anak saya. Saya terpaksa tukar ke saluran kartun.

"Anak saya yang berumur tujuh tahun boleh baca dan politik kotor ini jadi bahan berita. Saya ingatkan kamu, akhbar ini juga diedarkan ke sekolah-sekolah. Mengapa mesti diceritakan secara terpinci. Apa yang nak kita capai dengan ini?" soalnya.

Afif menjelaskan kritikannya di laman Twitter berhubung wawancara The Star bersama Haziq Abdullah Abdul Aziz, individu yang mendakwa salah seorang lelaki dalam rakaman video seks membabitkan Azmin.

Beliau juga mempersoalkan keperluan untuk memberikan liputan sedemikian.

"Sebagai wartawan adakah kamu tak bosan dengan perkara ini? Ada banyak isu untuk dilaporkan, mengapa perlu ketengahkan perkara ini," katanya yang menambahkan PKR telah pun menyerahkan perkara itu untuk disiasat pihak polis.

Afif dalam pada itu berkata beliau bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa klip video itu merupakan sebahagian daripada "gerakan politik untuk menjatuhkan Azmin".

"Mereka yang berada di belakang video itu, jika mereka berkuasa atau ingin mengeksploitasi isu itu untuk mendapatkan kuasa, mereka harus disingkirkan," katanya.

Azmin, yang juga menteri hal ehwal ekonomi menafikan merupakan individu dalam video seks itu dan menyifatkannya sebagai komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Beliau juga percaya perbuatan itu adalah kerja dalaman PKR.

Lihat Komen
ADS