Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rakyat Malaysia antara dicekup ketika leka berjudi di Yala

Pihak Berkuasa Thailand menahan 54 individu, termasuk 24 rakyat Malaysia yang sedang leka bermain judi di sebuah premis kosong di Pekan Betong, Yala, selatan Thailand, semalam.

Ketua Polis Daerah Betong, Kol Pol. Torsak Sarirat berkata premis judi haram yang terletak dalam sebuah ladang getah itu dipercayai dikendalikan oleh seorang rakyat Malaysia dan isterinya yang merupakan warga tempatan.

Dalam serbuan kira-kira 5 petang (waktu tempatan) semalam, beliau berkata pihak berkuasa Thailand menahan 36 lelaki dan 18 wanita yang sedang leka bermain “Roulette” dan “Hi Lo” (dice game).

“Polis turut merampas wang tunai milik pemain-pemain judi yang berjumlah RM24,795 dan 97,750 Baht (RM13,209).

“Selain itu, mesin judi Roulette, peralatan “Hi Lo” dan pelbagai jenis cip (digunakan sebagai wang bermain judi) turut dirampas,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata semua suspek ditahan di Balai Polis Betong untuk siasatan lanjut.

Turut menyertai serbuan tersebut ialah Timbalan Gabenor Wilayah Yala, Jedsada Jitrat dan Ketua Pejabat Daerah Betong, Anan Bunsamran.

- Bernama

Lihat Komen
ADS