Elak cakap isu parti politik dalam sidang DUN - sultan
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor menjaga adab ketika berbahas, mengelakkan bercakap mengenai isu-isu parti politik dan perkara sensitif berkaitan kaum dan agama ketika sesi perbahasan.
“Rakyat akan sentiasa menilai prestasi perkhidmatan yang diberikan oleh setiap wakil rakyat.
"Oleh itu, tunaikanlah tanggungjawab untuk membawa suara dan kehendak rakyat, bukannya bersuara serta bertindak untuk kepentingan diri sendiri.
Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan penggal persidangan kedua DUN Johor ke-14 di Johor Bahru hari ini.
Sementara itu, baginda juga mengingatkan anggota dewan supaya mengetahui latar belakang sesuatu undang-undang negeri sebelum berbahas.
“Adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli dewan untuk meneliti dan menambah baik setiap undang-undang negeri.
“Namun begitu, sebelum berbahas mengenai sesuatu undang-undang, setiap ahli dewan mestilah tahu tentang tujuan latar belakang dan asas penggubalan enakmen tersebut,” titah baginda.
Sultan Ibrahim juga mengingatkan Adun Johor menjaga tingkah laku dan tata tertib pakaian serta patuh pada peraturan dewan.

