Saman fitnah: To'ki tuntut gantirugi RM10 juta
Penyanyi and komposer To'Ki hari ini mengemukakan saman menuntut ganti ugi RM10 juta terhadap The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) dan tiga lagi yang didakwa menfitnahnya.
To'Ki atau nama sebenarnya Mohd Zaki Mansor memfailkan writ saman di pejabat pendaftar di Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan Zaman Teng & Chan.
To'Ki turut menamakan akhbar Harian Metro, wartawannya Zainal Zawawi Mohamed dan ketua pengarang kumpulan NSTP Datuk Hishamudin Aun sebagai defendan.
Dalam kenyataan tuntutannya, To'Ki mendakwa difitnah melalui suatu berita bertajuk "Artis Ketua Penyamun" yang disiarkan di muka depan akhabr Harian Metro bertarikh 18 Januari lepas.
Beliau mendakwa berita itu sebenarnya adalah fitnah yang bertujuan mencederakan dan memburukkan reputasinya di kalangan peminat seni tanah air.
Menurut laporan Bernama,To'Ki juga mendakwa penyiaran fitnah itu bertujuan melariskan penjualan akhbar Harian Metro serta berniat jahat untuk memusnahkan punca rezeki, mata pencarian dan periuk nasi beliau.
"Defendan-defendan sedar dan tahu bahawa dengan tersiarnya berita fitnah tersebut, saya tidak lagi akan berpeluang diundang menyanyi walau di mana sekalipun dan tiada penerbit album yang sanggup bekerjasama dengan saya bagi menerbitkan album nyanyian saya.
Membersih nama
"Jikapun ada penerbit album yang masih sanggup menerbitkan album saya di masa akan datang, kemungkinan tiada orang atau peminat yang akan membeli album tersebut," dakwanya.
Selain mengalami kemurungan, kehilangan harga diri serta malu yang melampau, To'Ki mendakwa fitnah itu juga telah mengakibatkan kehidupan aman damai beliau dan keluarganya terjejas.
Katanya beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menghantar notis tuntutan berhubung fitnah itu tetapi tidak dijawab oleh semua defendan.
Oleh itu, To'Ki menuntut RM10 juta sebagai ganti rugi am, teladan, dan melampau serta kos, faedah dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
To'Ki turut memohon satu injunksi menghalang semua defendan atau ejen atau pekerja mereka daripada bercakap atau mengedarkan atau menyebabkan penyiaran perkataan yang didakwa menfitnahnya.
Ketika ditemui pemberita, To'ki berkata tindakan itu diambil untuk membersihkan namanya kerana beliau malu masyarakat telah hilang kepercayaan terhadapnya.
"Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, kalau saya tidak buat macam ni orang akan anggap saya bersalah," katanya.
Beliau juga menafikan bahawa tindakan itu diambil atas sebab kewangan.
To'ki yang pernah menghasilkan beberapa album serta memenangi pelbagai anugerah, antaranya Juara Lagu kategori Irama Malaysia, ditemani isterinya Nik Aida Mustapha ketika hadir di mahkamah.

