Kementerian Kesihatan tubuh jawatankuasa khas kawal vape
Kementerian Kesihatan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji kaedah kawalan terhadap penggunaan rokok elektronik (e-ciggarette) atau Vape.
Menterinya, Dr Dzulkelfy Ahmad berkata jawatankuasa khas itu akan diketuai oleh timbalannya Dr Lee Boon Chye selepas mendapat persetujuan kabinet semalam.
"Mesyurat kabinet semalam setuju dengan penubuhan 'task force' ini.
"Perkara ini masih dalam peringkat awal. Saya tidak boleh dedahkan lebih lanjut, tetapi ia membabitkan kawalan terhadap penggunaan alat ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kesedaran Persekitaran Bebas Amalan Merokok sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2019, di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.
Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata kerajaan tiada pilihan selain menguatkuasa undang-undang terhadap mereka yang masih ingkar mematuhi peraturan larangan merokok di premis makanan.
Katanya, usaha kementerian mendidik rakyat Malaysia untuk tidak merokok di tempat awam menunjukkan perkembangan positif, namun masih ramai ingkar terhadap peraturan berkenaan.
"Yang ekstrem ini memang sentiasa ada orang sebegitu.
"Tetapi jika mereka sangat degil mahu langgar dan cabar, kita tiada pilihan untuk kuatkuasa undang-undang," katanya.
Oktober lalu, Kementerian Kesihatan mengumumkan larangan merokok di semua premis makanan di seluruh negara berkuatkuasa 1 Januari tahun ini.
Pihak yang didapati melanggar larangan itu boleh didenda RM10,000 atau penjara dua tahun.
Pemilik premis makanan yang didapati membenarkan pelanggan merokok akan didenda maksimum RM2,500.
Perokok bagaimanapun dibenarkan merokok 3 meter (kira-kira 10 kaki) dari premis makanan.

