Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia (KPKT), Raja Kamarul Bahrin Shah menafikan dakwaan bahawa tegurannya terhadap perlombongan emas di Marang bermotifkan politik.

Katanya, kenyataan yang dibuatnya berhubung perkara itu pada 21 Jun adalah semata-mata bagi kerana memikirkan keselamatan nyawa penduduk dan pekerja lombong.

“[...] Kebimbangan dan keperhatinan saya atas keselamatan serta kesihatan orang awam dan pekerja lombong sendiri yang ramai tidak tahu akan bahaya ke atas diri mereka.

[...] Nilai kesihatan serta nyawa manusia jauh lagi penting dari perkara perkara lain dan saya perlu beri pandangan yang sepatutnya.

“[...] Saya tidak boleh mengambil sikap tidak mengambil berat isu semasa ini. Tuduhan Encik Alias Yusof yang kenyataan saya bermotifkan politik untuk memburukkan kerajaan negeri hari ini tidak benar sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 Dia dipercayai merujuk laporan sebuah akhbar bahasa Melayu memetik seorang pendulang emas, Alias Yusof, 55, menafikan wujudnya aktiviti perlombongan emas tidak terkawal di daerah Marang sehingga mampu memberi kesan kepada alam sekitar dan penduduk.

Kata Alias, kenyataan Raja Bahrin itu tidak tepat, dan dibuat hanya kerana kepentingan politik bagi menjatuhkan pentadbiran kerajaan negeri Terengganu.

Sedangkan menurut Alias, aktiviti mendulang emas di kawasan tersebut sudah berlarutan lebih 30 tahun tanpa mendatangkan masalah keselamatan, dan berbeza dengan aktiviti perlombongan kerana tidak menggunakan asid atau mesin melainkan dulang dan enjin (jentera) sedut.

Menyangkal dakwaan tersebut, Raja Bahrin berkata kerjasama pihak KPKT dan kerajaan negeri Terengganu berlangsung baik demi kemajuan serta kebajikan rakyat Terengganu termasuk di daerah Marang.

Bagaimanapun, katanya, isu perlombongan adalah isu keselamatan yang perlu ditangani secara bersama.

Tambahnya lagi, dia lebih suka mengambil pendekatan “pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan”, memandangkan sebelum ini telah berlaku beberapa kes melibatkan pencemaran serta keracunan akibat aktiviti perlombongan emas seperti di Bukit Koman, Raub pada Januari 2010 dan di Kampung Gua, Kuala Lipis pada Januari 2018.

“Mengikut kajian saintifik, perlombongan emas terutamanya apabila terdedah kepada udara, hujan serta panas boleh menyebabkan pelepasan kimia merkuri, arsenik dan lead (plumbum) yang membahayakan nyawa manusia.

“Oleh itu pemantauan oleh pihak berkuasa untuk memastikan peraturan serta pewaian di patuhi adalah penting,” katanya lagi.

Pada 21 Jun, Raja Bahrin meminta kerajaan negeri memberi perhatian terhadap aktiviti perlombongan emas di Marang baik yang berlesen atau pun tidak memandangkan ia dilakukan berdekatan dengan rumah kediaman penduduk.

Dalam hantaran di Facebooknya itu, dia berkata kawasan perlombongan yang terdedah udara, hujan, dan panas, bahan mineral terdedah menjadi tidak stabil dan mengeluarkan bahan kimia beracun ke dalam air dan udara persekitaran.

“Air [...] ini akan mengalir ke dalam alur dan sungai berdekatan dan meresap ke dalam tanah, memasuki sumber air perigi orang kampung manakala gas bertoksik dan debu kering yang dilepaskan ke udara pula akan ditiup oleh angin sehingga beberapa kilometer dari tempat operasi dan berpotensi mencemarkan udara dan memasuki saluran pernafasan manusia dan haiwan.

“Kerja-kerja perlombongan mesti dipantau serta dikawal bagi memastikan segala peraturan dan piawaian dipatuhi. Kesejahteraan serta keselamatan rakyat adalah keutamaan dan kerajaan perlulah memberi perhatian serta menjadi prioriti utama,” katanya lagi dalam hantaran tersebut.