Seorang pekerja ladang ayam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan melupuskan wang berjumlah RM1.05 juta hasil daripada aktiviti wang haram dari akaun simpanan miliknya, tiga tahun lalu.

R Poobalan, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhannya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah terhadapnya di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Bapa tiga anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Public Bank Berhad cawangan Sungai Pelek, Selangor antara 7 Dis 2016 hingga 25 Feb 2017 mengikut Subseksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 4 (1) akta sama.

Subseksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Liyana Shahrir menawarkan jaminan berjumlah RM100,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Tertuduh yang diwakili peguam Sritharan C Nadarajan memohon jaminan sebanyak RM20,000 atas alasan tertuduh menghidap strok dan masih menjalani rawatan serta menanggung kos perubatan sendiri.

“Dia juga menghadapi empat pertuduhan lain iaitu masing-masing satu pertuduhan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan Mahkamah Sesyen Seremban serta dua pertuduhan lagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur,” kata Sritharan.

Mahkamah membenarkan Poobalan diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 16 Julai untuk sebutan semula kes.

- Bernama